Tuesday, 24 June 2014

LAGENDA GADIS KEDAI BUNGA



Dia mencari pasti di lorong sepi kota pinggiran. Sunyi dari bingar dan kesesakan kenderaan. Dia masih setia menanti jawapan dari penghuni lama yang berkumis tebal sambil bersantai leka di warung kecil. Dia tekun mendengar penjelasan daripada si tua itu tentang kisah lalu. Dia sayu mencula egonya untuk menerima hakikat sebuah kisah yang mencalar memori.

"Dulu memang Pak Andak setuju dengan kata-kata kamu. Kedai bunga itu memang ada di situ. Tapi itu 10 tahun yang lampau. Selepas pemiliknya menjual kedai itu kepada seorang taukeh Cina berlaku pembunuhan misteri ke atas bekas pemilik kedai itu suami isteri. Tapi tiada sebarang siasatan yang dilakukan. Seolah-olah pembunuhan itu telah dirancang oleh pihak tertentu." Pak Andak berhenti berbicara sambil mengeluh pasrah.


Dia masih terkedu mendengar kisah itu. Dia bagai terpukau mendengar antologi sebuah lagenda yang khilaf pada minda fikirnya. Dia tersenyum bagai dipaksa. Kenangan lalu masih seolah-olah terbayang di depan matanya. Dia menoleh semula ke lokasi kedai bunga tempat Dia menemui kekasih hatinya Wirda. Hakikatnya memang tiada kedai bunga di situ. Cuma sebuah memori lalu menghantui akalnya.

"Selepas kedai itu dijual, taukeh itu tidak lagi meneruskan niaga jual bunga, sebaliknya kedai itu terbiar usang. Dengar-dengar cerita taukeh cina itu kalah judi. Dia juga mati secara misteri. Orang kata kedai bunga itu ada puaka. Pemiliknya kerap ditimpa malapetaka. Kedai itu terbiar untuk beberapa lama hinggalah Majlis Bandaraya merobohkan kedai itu untuk digantikan dengan beberapa kerusi batu untuk orang ramai bersantai. Tapi lokasi itu tetap lengang jua. Pak Andak pun kurang pasti kenapa. Barangkali mereka tahu kisah-kisah misteri itu. Ada di kalangan mereka yang sempat berbual tentang kisah-kisah seram semasa mereka minum petang di warung Pak Andak."

"Apa yang mereka bualkan?" Dia bertanya penuh minat.

"Tentang hantu."

"Hantu?" Dia terkasima.

"Pak Andak pun tak pasti kebenarannya sebab Pak Andak pun tak pernah jumpa. Mereka kata hantu itu sering kelihatan di bekas lokasi kedai bunga itu. Lagipun jalan raya ni memang kawasan kemalangan." Keluh Pak Andak sambil tersenyum tawar.

"Minumlah air itu! Pak Andak belanja." Pelawa Pak Andak.

Dia masih ragu dengan penjelasan Pak Andak. Mana mungkin peristiwa berlainan berlaku dalam situasi yang sama. Tambahan pula di lokasi yang serupa. Mindanya ligat berkira-kira… tapi tak patut pula Pak Andak mereka-reka cerita.

"Siapa nama gadis yang kamu cari tu?" Soal Pak Andak seraya melepas asap rokoknya. Berkepul-kepul berlegar di ruang udara. Akhirnya hilang. Seperti hilangnya gadis kedai bunga dari pandangan mata Dia.

"Wirda Iskandar."

"Wirda!" Pak Andak seolah-olah terkejut.

"Ya, kenapa?" Soal Dia.

"Pak Andak kenal benar dengan Wirda. Kalau yang kamu maksudkan itu Wirda yang bekerja di kedai bunga itu Pak Andak memang pasti. Dulu dia bekerja di kedai bunga itu membantu tuan punya kedai bunga tersebut. Sekitar hampir setahun lebih dia bekerja. Pak Andak memang baik sangat dengan dia. Lagi pun Pak Andak anggap dia macam anak Pak Andak sendiri. Kalau tak salah Pak Andak masa tu dia menunggu tawaran untuk menyambung pengajian di peringkat universiti. Dia berkerja sementara di situ. Katanya dia orang susah. Anak yatim piatu. Tiada saudara-mara." Pak Andak berbicara bernada sayu.

"Tapi kalau lima tahun yang lalu memang kedai bunga itu sudah tiada. Seingat Pak Andak kedai bunga itu dirobohkan selepas dua tahun pembunuhan misteri itu berlaku. Lagipun taukeh cina yang membeli kedai itu juga mati dalam tahun yang sama. Lebih kurang lapan tahun yang lalu kedai bunga itu sudah tiada. Cerita kamu tentang kedai itu cuma sekitar lima tahun lepas. Itu mustahil. Pak Andak menyaksikan segalanya."

"Kemana kamu pergi dalam tempoh lima tahun tersebut?" Pak Andak kembali menyoal setelah lama bercerita.

"Saya sambung belajar." Jelas Dia.

"Di mana?"

"Di luar negara. Saya tidak pernah pulang ke tanahair dalam tempoh tersebut sebab saya nekad menyudahkan pelajaran di peringkat ijazah. Itu janji saya pada Wirda."

"Janji.?"

Pak Andak semakin bingung.

"Bagaimana kamu boleh buat janji dengan Wirda.?"

"Beberapa bulan sebelum saya berangkat ke luar negara, saya mengenali Wirda. Dipendekkan cerita… saya jatuh cinta terhadap kemurnian peribadi Wirda. Saya jelaskan kepadanya isi hati saya. Saya sanggup menolak tawaran pelajaran demi cinta saya terhadapnya. Tapi Wirda menolak lamaran saya. Dia cuma akan menerima lamaran saya kalau saya melamarnya setelah saya pulang membawa kejayaan. Itu syarat Wirda terhadap saya. Dia akan sanggup menunggu saya." Cerita Dia pada Pak Andak.

"Kamu cuma bercinta dengan khayalan." Jelas Pak Andak serius.

Kali ini Dia pula yang bingung dengan kata-kata Pak Andak.

"Kenapa Pak Andak kata begitu.?"

"Sebab cinta kamu sebenarnya tidak pernah wujud. Kamu telah dipermainkan waktu. Lupakanlah Wirda."

"Kenapa saya perlu lupakan dia pula? Sedangkan saya ada janji dengan dia. Janji mesti ditunaikan sebab manusia berpegang pada janji."

"Di mana Wirda sekarang?"

"Wirda sudah lama pergi."

"Ke mana?"

"Ke alam yang abadi."

Dia terkedu. Sepi tanpa bicara sambil membuang pandang ke arah lain. Dia mengucap istighfar berkali-kali. Dia bagai tidak boleh percaya pada cerita Pak Andak.

"Wirda diseret sebuah lori pemandu mabuk sewaktu dia ingin melintas ke warung Pak Andak. Dia meninggal di depan sana." Ujar Pak Andak sambil menunjuk ke arah jalan raya.

"Kejadian itu sudah lama. Selepas kematiannya kedai bunga itu bertukar wajah. Sebelum kematiannya kedai itu sering dikunjungi, tetapi sebaliknya selepas pemergian Wirda. Tuan punya kedai itu mengambil keputusan nekad menjual kedai itu. Kronologinya seperti yang Pak Andak ceritakan tadi. Tapi kejadian itu sudah lebih sepuluh tahun lepas."

"Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal."

"Mustahil saya bercinta dengan seorang yang telah tiada!" Protes Dia bersahaja.

"Wirda tu budak bagus. Dia ada wawasan. Walapun dia tiada saudara-mara tapi dia tabah hidup berdikari. Sebelum bekerja di kedai bunga tu Pak Andak dengar dari ceritanya sudah banyak kerja yang pernah dilakukan. Dia bercita-cita tinggi. Dia nak sambung pelajaran sampai universiti. Tapi takdir mengatasi segalanya. Tuhan lebih menyayanginya. Dia kembali dengan ketenangan sebelum impiannya menjadi kenyataan."

Beberapa minggu selepas pertemuan pertama Dia dengan Pak Andak di warung depan lokasi kedai bunga itu, Dia kembali bertandang. Kali ini Dia bersungguh-sungguh untuk mendapat kepastian daripada Pak Andak dan untuk mengucap selamat tinggal kepada kerusi-kerusi batu yang menjadi ganti kedai bunga yang sebenarnya sudah lama tiada. Petang itu Dia ingin menghabiskan masa di kerusi batu itu. Dia mengajak Pak Andak bersantai bersamanya. Pak Andak menolak dengan alasan banyak kerja yang perlu dilakukan di warung miliknya.

Dia melakar puisi khas untuk Wirda.

Wirda…
Hembusan angin petang ini
Mengingatkan aku pada kisah lalu
Aku pasrah
Dalam getar aku cuba mengerti
Sebuah percaturan yang kulalui
Bersamamu… duhai kasihku
Aku ingin kepastian darimu
Tentang kisah cinta kita
Kerana telah tersemat kukuh
di memori ini
Sebuah nostalgia
Antara aku dan dikau
Bagai baru semalam kita mengukir janji…


"Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Seorang gadis tercegat di depan Dia.

"Boleh saya duduk?"

"Silakan…!" Pelawa Dia bersahaja.

"Saya perhatikan awak dari tadi lagi. Nampaknya awak asyik menulis sesuatu. Boleh saya baca. Itu pun kalau ia bukan rahsia." Pinta gadis tadi sambil mengukir senyum.

Dia menghulurkan lembar puisi kepada gadis itu.Gadis itu membacakan puisi sepontan Dia. Dia tersenyum sambil memandang si gadis.

"Saya tak pandai menulis puisi… sebab bukan bidang saya."

"Tapi saya kagum dengan puisi awak." Seloroh gadis itu.

Dia tersenyum malu.

"Nampaknya untuk seseorang yang istimewa bukan?"Lanjut si gadis.

"Begitulah seadanya."

"Nampaknya awak orang baru di sini?"

"Ya… Saya baru pulang dari oversea."

"Belajar?" "Ya."

"Bidang?" "Agama. Maksud saya Syariah Islamiah"

"Tentu awak dari Timur tengah kan? Hadiahkan puisi ini untuk saya." Pinta si gadis.

"Saya tak kenal awak. Kenapa awak mintak puisi saya pula?"

"Sebab saya suka puisi awak. Saya sekarang masih menuntut di tahun akhir dalam jurusan kesusateraan Melayu. Saya minat puisi awak. Tentu ianya ditulis bukan sekadar rekaan… tetapi ianya lahir dari lubuk hati dan merupakan satu realiti yang pernah awak lalui… Saya cuma meneka "

"Orang sastera selalunya ada point untuk berbicara." Ujar Dia menguji si gadis.

"Siapa nama awak?"

"Alif." Jawab Dia.

"Alif… tentu awak ni tetap pendirian kan? Macam huruf alif. Tegak dan tetap." Si Gadis ketawa manja.

Dia mengalih pandangan pada si gadis. Persis wajah Wirda. Getus hati kecilnya sendiri.

"Mesti ada sebab lain kenapa awak nak puisi saya." "Saya cuma mengagak." Dia menduga si gadis.

"Barangkali awak betul." Balas si gadis.

"Sebab puisi ini untuk saya. Mana awak dapat nama Wirda ni?"

"Oooo… itu kisah lama saya."

"Tapi itu nama saya." Ujar si gadis. Kali ini nampaknya si gadis serius.

Dia memerhati jam tangannya. Sudah hampir pukul enam petang. Dia perlu pulang ke rumahnya untuk berkemas. Esok dia akan berangkat ke Mesir untuk menyambung pengajiannya di peringkat ijazah lanjutan (Master). Tetapi kemunculan gadis itu melekakan Dia petang itu.

"Nama awak?"

"Ya…Wirda. Itu nama saya."

"Barangkali itu cuma satu kebetulan." Ujar Dia bersahaja sambil teringat memori silam.

"Katakanlah yang awak pernah mengenali seorang gadis bernama Wirda suatu masa dahulu." Kali ini si gadis semakin mendesak.

"Ya… tapi ianya sebuah lagenda yang saya sendiri tak pasti sejauhmana kebenarannya. Sebuah kisah yang saya perlu lupakan sebetulnya."

"Mengapa?"

"Sebab…sebab… Wirda saya tidak pernah wujud pada zaman saya. Saya cuma bercinta dengan bayang-bayang." Dia menunduk pasrah.

"Bayang-bayang bukankah cuma ada bila awak disuluh cahaya. Apabila awak berada dalam kepekatan kegelapan bayang-bayang akan sirna bersama kegelapan. Namun bayang-bayang berjalan bila awak berjalan. Dia berlari bila awak berlari dan dia sentiasa bersama awak. Awak tidak rugi bercinta dengan bayang-bayang dengan syarat awak berada bersama suluhan cahaya. Tetapi Wirda di depan awak sekarang bukan bayang-bayang yang awak takutkan."

"Itu cuma pujangga awak saja. Orang sastera memang begitu. Suka menyusun ayat-ayat manis sebagai halwa telinga semata-mata…namun untuk merealitikannya biasanya orang seperti awak akan kalah." Dia memprotes.

"Bagaimana kalau saya katakan sayalah Wirda yang awak cari. Justeru saya nak buktikan kemanisan kata-kata saya. Saya bersedia mengganti Wirda yang awak impikan." Si gadis mencelah. Kali ini nadanya tegas.

"Siapa awak sebenarnya?"

"Saya Wirdatun Nisa' Kamarudin. Just call me Wirda." Tegas si gadis.

Kali ini Dia bagai terpukau dengan si gadis di depannya. Dia serba-salah. Dia merasakan seolah si gadis melamarnya. Perkenalan singkat itu adalah episod baru bagi Dia. Dia menangguhkan penerbangannya ke Mesir esoknya. Dia akan menerima lamaran Wirda barunya. Esok mereka akan bertemu lagi di kerusi-kerusi batu itu. Di situlah dia merakam memori lalu bersama Wirda Iskandar. Di situ jugalah dia bertemu Wirdatun Nisa' Kamarudin. Dia semakin kagum dengan percaturan Ilahi. Betapa kekuasaanNya mengatai segalanya. Dia mula belajar tentang hikmah pertemuan dan perpisahan. Dia bersetuju untuk bertemu Wirdatun Nisa' petang esoknya. Barangkali kerana Dia tidak lagi mahu kehilangan Wirda untuk kali kedua.

Dia datang kepada saya. Dia mengucup saya. Dia membelai saya penuh kelembutan. Entah mengapa saya pun kurang mengerti tindakan Dia terhadap saya.

"Wahai bunga mawar. Kau telah saksikan episod cintaku." Ujar Dia kepada saya.

Dia pergi bersama Wirdanya meninggalkan saya bersama kerusi-kerusi batu. Itulah kisah si Dia.



Oleh,

Akhi Masrawi
Tanta, Egypt.
Februari 2002.

© AKHI MASRAWI



© Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: mypujangga@yahoo.com (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~


Warkah Buat Puteriku



Assalamualaikum warahmatullah…

Puteriku,

Sewaktu aku ingin menitipkan tintaku ini buatmu aku merenungimu dengan penuh kasih sayang. Waktu itu engkau baru berumur beberapa hari selepas engkau dilahirkan kedunia ini oleh ibu yang mengandungkan dirimu. Aku bersyukur kerana aku dianugerahkan seorang cahaya mata bernama wanita yang bakal mewarisi sifat kelembutan ibumu sebagai wanita solehah. Namun perlu engkau ingati akan kelembutanmu itu, bukanlah diskriminasi Tuhan terhadapmu. Aku berpesan buatmu tentang keadilan Tuhanmu. Betapa agungnya Dia menciptakan dirimu sebagai insan yang bernama wanita supaya kau sanjungi anugerahNya buatmu.

Keagungan Tuhanmu mengatasi segalanya. Oleh itu patuhilah segala perintahNya lantaran kau terpilih dijadikan cuma sebagai hamba dan jauhilah laranganNya untuk menunjukkan kasihmu terhadapNya. Perhatikan segala amanahNya buatmu kerana amanahNya perlu kau dahulukan daripada amanah makhluk-makhlukNya. Selamatlah dirimu tika mana kau memilih jalan Taqwa dan meninggalkan perangkap maksiat dan kehinaan. Puteriku! berimanlah dikau dengan Allah yang Maha Agung. Yakinilah pada ajaran dan sunnah Rasulullah saw. Berpeganglah pada dustur yang mengajarmu tentang tarekat hidupmu lantas katauhidanmu akan mengikat Taqwa dan imanmu terhadap penciptamu. Yakinilah bahawa setiap perkhabaran para Rasul itu benar sekalipun berita yang di bawa itu bukan cuma berita gembira.

Puteriku,

Hari ini aku akan menamakan dirimu. Aku memilih nama seorang wanita yang aku kagumi dari kalangan wanita-wanita lain yang juga turut menjadi idola. Namun hatiku cuma muyul untuk menamakan dikau dengan nama ini. Janganlah sesekali engkau merasa jengkel dan kekurangan dengan namamu ini. Paling tidak merasa cemburu dengan nama-nama temanmu yang lain barangkali jauh lebih up to date. Percayalah bahawa namamu ini sudah memadai untuk kau merasa rendah diri terhadap Tuhanmu dan bertanggung jawab untuk menaladani peribadi yang pernah bernama seperti itu. Ingatlah kau bakal menjadi serikandi sepertinya suatu masa nanti.

Aku berpesan kepadamu tentang ilmu. Ilmu itu mengangkat darjat manusia. Ilmu jugalah yang mencipta peradaban ciptaan manusia yang hakikatnya adalah ketentuan Ilahi. Ilmu jugalah yang memisahkan kekufuran bila hidayah dicampakkan ke kalbu seseorang insan. Oleh itu usahlah engkau pencilkan dirimu dari ilmu kerana engkau bakal bergelar seorang ibu yang akan mendidik anak-anakmu nanti. Ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi. Kedua-duanya muhim bagimu, namun ilmu ukhrawi lebih aham. Justeru aku menyekolahkanmu di sekolah aliran agama supaya cita-citaku itu menjadi pasti.

Sewaktu kecilmu engkau diasuh ibumu. Engkau dibelai manja. Ketika salahmu engkau diteguri supaya engkau berhati-hati di lain kali. Ketika betulmu aku dalam diam mensyukuri kepintaran yang dikurniakanNya buatmu. Patuhilah perintah kedua ibu bapamu selagimana ianya tidak berelisih dengan ajaran Islam. Usahlah engkau bersedih tika engkau gagal sekali. Sebaliknya berusahalah dengan lebih gigih kerana engkau masih mempunyai peluang untuk kali kedua. Janganlah engkau pencilkan kesedihan dengan esak tangismu yang menyayukan hati. Janganlah engkau salahkan Tuhanmu tika lara dan duka mengunjungi laman hidupmu. Sedarilah itulah ujian TuhanMu untuk menilai kesabaran dan ketaqwaanmu terhadapNya.

Puteriku,

Apabila usiamu mencecah sembilan tahun engkau akan bertukar status dari seorang kanak-kanak perempuan menjadi wanita. Ya… wanita yang punyai tanggung jawab terhadap agama, diri, keluarga, bangsa dan negara. Engkau bakal mengalami peristiwa ganjil. Janganlah engkau takuti akan peristiwa itu lantaran ia adalah perkara ghalib untuk kaum hawa. Engkau akan mengalami haidh. Ia adalah darah yang keluar dari kemaluanmu ketika engkau dalam keadaan sihat. Engkau perlu tahu hukum-hakam mengenainya. Apa yang perlu engkau lakukan dan apa yang ditegahi agama terhadapmu. Janganlah engkau merasa hina dengan ia kerana ia adalah suatu urusan yang ditentukan Allah kepada wanita-wanita berketurunan Adam.

Selepas kajadian ganjil itu engkau punya tanggung jawab besar. Engkau perlu lunaskan tanggung jawabmu terhadap agamamu. Jangan engkau abaikan tanggung jawabmu terhadap kesucian dirimu. Apabila sudah berhenti haidhmu maka bersegeralah engkau menyucikan dirimu dan kerjakanlah semula amal ibadatmu. Sesudah itu engkau akan berkali-kali mengalami peristiwa tadi sehingga engkau mengerti hikmah ketentuan Ilahi terhadapmu. Usahlah engkau merasa pelik jika aku tuturkan untukmu bahawa ada wanita yang tidak pernah mengalami haidh dalam hidupnya. Dialah puteri kesayangan Baginda Rasulullah (Fatimah al-zahra' r.a). Ada wanita yang cuma datang haidhnya sekali seumur hidup. Ada yang setahun sekali. Ada yang jarang-jarang sekali dan normalnya ia datang setiap bulan. Maka hitunglah. Paling kurang haidh itu adalah sehari semalam dan paling lama tempohnya adalah 15 hari berserta malamnya. Tentu engkau merasa pelik mengapa aku menulis warkah ini seperti ini bukan? Aku ingin mengajarmu tentang hidupmu. Tidaklah seorang wanita yang haidh itu, kecuali haidhnya merupakan kifarat (tebusan) untuk dosa-dosanya yang telah lalu, dan apabila pada hari pertama haidhnya membaca "Alhamdulillahi'alaa Kulli Halin Wa Astaghfirullah; Segala puji bagi Allah dalam segala keadaan dan aku mohon ampun kepada Allah dari segala dosa." ; maka Allah menetapkan dia bebas dari neraka dan dengan mudah melalui siratul mustaqim yang aman dari seksa, bahkan Allah Ta'ala mengangkatnya ke atas darjat, seperti darjatnya 40 orang mati syahid, apabila dia selalu berzikir kepada Allah selama haidhnya. Justeru janganlah engkau segan silu bertanya tentang usuran agamamu pada hal yang tidak engkau ketahui atau engkau ragui kesahihannya kepada orang-orang yang lebih mengetahui. Janganlah engkau tanyakan pada orang yang jahil kerana kelak fatwanya menyesatkan dirimu.

Selepas tempoh ini engkau akan membesar menjadi seorang wanita. Tubuh badanmu akan mengalami perubahan sedikit demi sedikit sehingga engkau bakal dikagumi oleh lelaki. Wajib tika ini engkau menutup auratmu terhadap pandangan lelaki ajnabi. Engkau tidak betah lagi untuk menayangkan tubuhmu lantaran ia adalah fitnah yang merosakkan. Waktu ini juga citarasamu akan berubah. Perasaanmu untuk mendekati dan berkawan dengan kaum lelaki melonjak-lonjak. Engkau akan girang bila engkau punyai teman berlainan jantina. Itulah yang dinamakan ikhtilat. Biasanya ia berlaku ketika usia peralihanmu sewaktu engkau menduduki tangga menengah alias usia remaja. Umur sementahmu itu pada hematku tidak wajar engkau berbuat begitu melainkan untuk urusan-urusan yang dibenarkan syariat. Ikutilah jejak ibumu. Dialah modus operandi terhampir buatmu. Seingatku dia tidak pernah menjalin hubungan alias berpacaran dengan lelaki ajnabi selainku… itupun selepas kami diikat dengan pertunangan. Namun masih mera'ikan tuntutan syara'.

Puteriku,

Engkau adalah anak pasca alaf kemodenan. Paling tidak engkau adalah generasi akhir zaman. Oleh itu janganlah engkau sia-siakan zaman mudamu dengan hiburan dunia yang melekakan. Penuhilah dadamu dengan ilmu. Tidak rugi engkau menjadi seorang yang berilmu seperti beberapa tokoh serikandi Islam yang pernah melakarkan sumbangan mereka terhadap Tamadun Islam.

Lihat saja Saidatina 'Aisyah r.a yang terdidik oleh Madrasah Rasul. Dia betah menjawab persoalan-persoalan yang diajukan lantaran kefaqihannya yang terbukti. Mengimbaskan nosstlgia Saidatina Khadijah r.a pasti kita terpana akan perngorbanannya yang sukar untuk ditandingi. Pun begitu menyorot kezuhudan dan agung kasih serta cintanya terhadap Ilahi tentu sahaja engkau pernah mendengar akan nama Rabiatul Adawiyah. Kesemua mereka itu adalah wanita. Beruntunglah engkau duhai puteriku jika engkau menyusuli jejak mereka. Aku sengaja menampilkan peribadi-peribadi tadi bukan untuk menghasut cemburumu, malah aku mahukan engkau menaladeni jejak mereka. Tidak salah untukmu terjun ke medan jihad kerana ikhlasmu untuk menegakkan agama Allah. Aku tidak mengajar engkau untuk takut akan mati syahid. Pernahkah engkau mendengar kalam seorang mujahid tentang perjuangan?

Telah berkata As-Syeikh Abdul Qadir Audah: "Jika aku dipenjarakan kerana perjuangan suci ini, aku boleh beruzlah. Jika aku dibuang daerah, aku boleh melancong percuma dan jika aku dibunuh kerana perjuangan yang benar ini maka aku dapat bertemu Tuhanku sebagai seorang syuhada'."

Berbicara soal perjuangan merupakan suatu realiti kerana hidup ini adalah sebuah perjuangan. Perjuangan membebaskan diri dari cengkaman kekufuran terhadap Ilahi. Perjuangan menundukkan hawa nafsu yang sering meronta di dalam diri. Perjungan di titian kesabaran mengerjakan perintah dan meninggalkan larangan Tuhan. Perjuangan mendidik diri menjadi seorang hamba dan perjuangan untuk merintis serta mengembalikan kedaulatan Daulah Islamiah yang telah lama hilang. Ya… itulah tugas utama kita. Itulah amanah yang perlu kita lunaskan semenjak kejatuhan Khilafah Islamiah Turkey Uthmaniah pada tahun 1924M. Maka sehinggalah perjuangan murni itu mencapai noktahnya yang entah bila janganlah engkau menyimpangkan diri dan hatimu dari terus bersama dalam ribat Jamaah Islam.

Puteriku,

Sampai masanya nanti engkau bakal menjadi seorang isteri dan seterusnya bergelar seorang ibu. Usahlah engkau ragui akan jodohmu kerana lelaki soleh itu adalah untuk wanita solehah. Dari itu jika engkau mengidamkan bakal suamimu sehebat Saidina Ali k.w jadikanlah dirimu laksana semulia Fatimah al-Zahra'. Aku nukilkan kata-kata Asma' binti Kharizah Fazari r.a. diriwayatkan bahawa ia telah berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya, "Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suami mu.Jadilah engkau tanah bagi suamimu (dengan mentaat perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagi mu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebaninya dengan berbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia mendekatimu,dekatilah ia dan jika ia menjauhi mu maka jauhilah ia dengan baik.Peliharalah benar-benar suamimu itu akan hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah pula ia mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah sahaja daripada dirimu.

Kehidupan berumah tangga adalah amanah sebenarnya. Bukan sekadar pengkongsian kebahagiaan semata-mata malah berkongsi segalanya sehinggalah manusia menyedari tanggung jawab masing-masing sebagai suami isteri. Taatilah suamimu dalam taqwamu terhadap Allah. Janganlah sesekali engkau menderhakai suamimu. Ingatlah wahai puteriku sesungguhnya Baginda Rasul saw pernah bersabda: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakkan ahli neraka ialah wanita." Rasulullah s.a.w. ditanyai, "Mengapa demikian wahai Rasulullah?" Jawab Rasulullah s.a.w. "Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup." Usahlah engkau merasa pilu dengan perkhabaran-perkhabaran tadi. Persiaplah dirimu kerana walaupun kebanyakan penghuni neraka adalah dari kalangan wanita lantaran mereka dari golongan wanita-wanita yang jahat. Namun masih ada ruang untuk wanita mendapat syurga. Jadilah wanita yang baik. Jadilah wanita yang mentaati perintah Tuhan dan suaminya. Jadilah wanita yang menjadi ibu yang baik.

Puteriku,

Puisi ini untukmu…

Kaulah mawar idaman
Tumbuhmu di taman larangan
Mekarmu dipagari dan dibajai
Sesucinya hatimu seindah akhlakmu
Diciptakan sebagai seorang wanita
Mewarisi kelembutan wanita solehah

Kembangmu tetap indah
Walau cuma di taman larangan
Menyinarkan nur keimanan
Nan mekar dihiasi mahmudah
Berkat asuhan ayah bonda

Kaulah serikandi ummah
Akhlakmu permata diri
Peliharalah maruah dan budi
Nescaya kaulah yang bernama
Wanita Sejati
Kebanggaan ayah bonda…


Puteriku,

Barangkali engkau sudah bosan membaca warkahku ini. Aku tidak pasti bilakah masanya engkau bakal membaca warkahku ini. Kalau engkau membacanya tika aku masih di sampingmu maka anggaplah ini pesanku buatmu wahai puteriku. Jika engkau membacanya tika aku sudah disemadikan itulah wasiatku buatmu.

Untuk mengakhiri warkahku ini aku juga ingin berpesan sebagaimana Luqman al-Hakim berpesan kepada anaknya…

Telah berpesan Luqman Al-Hakim kepada anaknya, "Sepanjang hidupku, aku hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para Nabi yang lalu iaitu :-

"Apabila engkau sedang solat kepada Allah s.w.t. maka jagalah baik-baik fikiranmu.
Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagailah pandanganmu.
Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka jagalah lidahmu.
Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah perangai dan adabmu.
Ingatilah kepada Allah s.w.t.
Lupakan budi baikmu terhadap orang lain.
Lupakanlah semua kesalahan orang lain terhadapmu.
Sentiasalah mengingati mati."


Ayahandamu.

Fatimah Al-Zahra' melipat semula warkah itu untuk kesekian kalinya. Itulah wasiat ayahnya. Ayahnya gugur syahid sebelum sempat melihat dia mencapai impian yang dilakarkan dalam warkah bisu itu. Kini Fatimah Al-Zahra' adalah penuntut tahun akhir jurusan Syariah Islamiah di Universiti Al-Azhar cawangan Iskandariah, Mesir. Dia mencapai semula kitab Qawaid Feqh sebagai isti'datnya untuk menghadapi imtihan dan terpenting untuk mencapai impian seorang ayah.

Tamat.


Glosari:

Dustur - pegangan
Tarekat - jalan, cara
Muyul - cenderung
Kalbu - hati
Muhim - penting
Aham - lebih penting
Ghalib - kebiasaan
Ajnabi - orang asing, bukan mahram
Ikhtilat - pergaulan, hubungan
Ribat - kesatuan
Isti'dat - persediaan
Imtihan - peperiksaan

Nota- Glosari (perkataan berhuruf condong) yang disertakan sekadar untuk menterjemahkan maksud penceritaan karya ini.



Tarikh: 5 Februari 2002

© AKHI MASRAWI



Kembali ke JURNAL                                                    sila klik Respon/Komen
© Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: mypujangga@yahoo.com (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~






































Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah


NOTA:(Membaca cerpen ini menuntut keterbukaan. Ia adalah sebuah karya yang agak asing. Penulis sempat merujuk beberapa buah kitab sebelum menulisnya. Semoga fakta yang dikemukakan bertepatan)




Hati dirundung duka. Air mata bertakung di kelopak mata. Meski kaki sudah kekejangan berdiri, namun aku masih tidak berganjak walau setapak. Mahu terus untuk merenungi dan mengingati sebuah kedukaan yang tercetus di zaman lalu. Aku merenung pusara Saidina Husain Bin Ali K.w dengan tenang meskipun hati bergelora meronta mahu menyingkap sebuah sejarah yang telah lama terukir. Pusara itu kekal di situ. Ya... di sebuah Kota kegemilangan pinggir Kaherah. Namanya Kota Husain. Ada riwayat lain turut menyatakan pusara Saidina Husain sebenarnya di tempat lain. Ada riwayat yang menyatakan di karbala; tempat di mana dia dibunuh. Malah ada yang menyatakan di Damsyik berhujah kepalanya dibawa ke hadapan khalifah Yazid bin Muawiyah selepas pembunuhan. Di Mesir pula riwayat itu timbul selepas beberapa lama. Walaupun aku tidak pasti kesahehan ihtimalku terhadap pusara itu namun banyak pengajaran sebenarnya aku perolehi sementelah bertandang ke pusara itu. Sehingga kini kebanyakan umat Islam masih menyalahkan keluarga Muawiyah di dalam tragedi pertumpahan darah di Karbala. Terutama Yazid... Mengapa?

Aku ingin menyingkap secara ringkas kepada kalian tentang peristiwa itu. Ia bukan lagenda atau cereka dalam kebanyakan cerita pendek. Ia adalah sebuah hakikat sejarah yang telah ternukil di lebaran sirah umat Islam. Kata-kata seorang ustazku masih tergiang diingatan. Sehinggalah kata-kata itu sirna aku masih belum menemui jawapan.

"Kita tak boleh menyalahkan sesiapa dalam tahkim di Daumtul Jandal. Sama ada Abu Musa As-Sya'ari atau Amru bin Al-Ash. Baik Muawiyah mahupun Saidina Ali. Lagipun semua yang berlaku ada hikmah yang tersirat."

Fikri rakan sekelasku memprotes. "Saya terima pendapat Ustaz... tapi Muawiyah sepatutnya menjadi gabnor yang patuh. Tidak wajar seorang gabnor menginginkan jawatan khalifah sedangkan Saidina Ali telah pun dibaiah."

"Fikri... awak sepatutnya tidak mendahulukan ra'yu yang khilaf terhadap tarikh." Jelas ustazku tenang.

Kelas sepi. Pelajar-pelajar lain menumpukan perhatian pada hujah Fikri. Ada yang memandang ustaz sambil mengerut dahi menuntut jawapan selanjutnya. Aku terdiam. Berfikir sedalam-dalam. Kata-kata Fikri seolah menyisih sumbangan Muawiyah dan dalam masa yang sama dominsi simpatinya begitu tinggi terhadap Saidina Ali k.w. Meskipun sejarah menukilkan bukanlah Muawiyah yang membunuh Saidina Ali; Muawiyah masih dianggap salah. Aku kebingungan. Tiada jawapan.

Malah aku pernah berjidal dengan Fikri tentang hal itu. Dia berkeras dengan hujahnya. Aku kira dia tidak sepatutnya terlalu ego dengan pendapatnya. Untuk menentukan siapa betul atau siapa salah bukan kita. Allahlah yang lebih mengetahui segalanya. Sepatutnya kita mengambil pengajaran dan hikmah dari sejarah. Bukan menambah kerumitan.

Madah Tarikh adab Islami memeningkan. Zaman khilafah Islamiah terpaksa dibongkar. Nyatanya ada zaman emas. Ada zaman haru-biru. 'Sejarah Umat Islam sebenarnya sesuatu yang rumit'. Aku membuat kesimpulan sendiri. Lantaran itu aku mengambil keputusan bertandang mencari jawapan di bumi Al-Azhar. Itulah saranan guru-guruku. Rahsianya al-Azhar mendidik kami menjadi lebih terbuka terhadap perkara-perkara khilaf. Kukuh terhadap perkara yang telah disepakati. Tidak taasub terhadap mazhab sehingga merugikan. Dan kemelut untuk saling berhimpit-himpit menguji sabar bukan kepalang aku kira medannya adalah Al-Azhar dan Ardul Mesir. Rahsia selebihnya barangkali belum kutemui.

***********

Seketika selepas Saidina Usman r.a dibunuh setelah 11 tahun memegang amanah sebagai khalifah maka kebanyakan umat Islam ketika itu telah memilih Saidina Ali K.w untuk meneruskan amanah Allah. Saidina Ali menolak. Sehinggalah berlaku desakan demi desakan yang keras; Saidina Ali terpaksa akur untuk menerima amanah tersebut. Setelah Saidina Ali K.w menjawat jawatan khalifah itu menurut riwayat; beliau telah mengambil tindakan terburu-buru dengan memecat kebanyakan pegawai dan gabnor yang dilantik sewaktu pemerintahan Saidina Usman. Meskipun sebelum itu beliau pernah dinasihati oleh beberapa orang sahabat supaya tidak terburu-buru dengan tindakan tersebut. Pada hematnya tindakan memecat pegawai-pegawai Saidina Usman itu wajar lantaran perlantikan mereka ketika zaman Khilafah Usman adalah kerana berkerabat dengan Saidina Usman r.a semata-mata. Bukan lantaran kelayakan. Sedangkan ketika itu kekhilafahan Saidina Ali k.w masih belum dibaiah oleh mereka. Sehingga beliau mengutuskan utusan membawa surat kepada Saidina Muawiyah yang sedang berada di Syam.

"Kau nak ikut aku pulang ke tak, Taufiq?" Soal Fuad sambil bergegas mengambil beg sandangnya. Kemudian beg itu disandang ke bahunya. Hanya beberapa buah kitab kuliah di dalamnya bergerak-gerak. Selesai kuliah di Al-Azhar selepas Zohor Aku dan Fuad bertandang ke Masjid Husain untuk berehat. Untuk berebut pulang pada waktu tenghari itu memeritkan. Malah terpaksa berebut-rebut untuk memanjat bas dengan orang-orang arab Mesir dan pelajar-pelajar lain yang turut mahu pulang sehabis kuliah. Biasanya kami akan berehat seketika di Masjid Hussain atau menghadiri kelas pengajian talaqi di Jami' Al-Azhar As-Syarif bersebelahan Masjid Husain yang biasanya diadakan selepas asar.

Aku masih diam. Tiada jawapan kepada pertanyaan Fuad.

"Aku mahu bersegera menghambat bas ke Haiyu Sabiek. Lagipun Maghrib sudah hampir. Malam ini kita ada mau'id dengan Sheikh Fathi untuk tasmi' Al-Quran di Masjid Musa. Kalau kau mahu ikut sekali kita perlu pulang segera." Jelas Fuad bersahaja.

"Aku mahu solat Maghrib di sini saja. Lepas itu barangkali aku menyusul ke Masjid Musa. Kita jumpa di sana. Mungkin hampir Isyak aku akan sampai."

"Baiklah. Kita jumpa di sana nanti. Jangan kau lupa pula! Minggu lepas pun kau tak hadir tasmi' dengan Sheikh Fathi. Dia bertanya tentang kau. Tiada jawapan yang aku berikan selain berjanji yang kau akan hadir hari ini." Fuad mengingatkan aku sambil berlalu pergi.

Aku masih di sisi pusara Saidina Husain anak kepada Saidina Ali dan cucu Rasulullah saw. Aku masih terkenangkan Tragedi Karbala. Lokasi di mana Saidina Husain dibunuh. Dia dibunuh oleh tentera Yazid bin Muawiyah yang dikepalai oleh Ubaidullah bin Ziyad. Kepalanya dipenggal untuk di bawa ke hadapan Khalifah Yazid di Damsyik.

Yazid menduduki takhta pemerintahan selepas kematian bapanya Muawiyah bin Abu Sufyan. Maka bermulalah pemerintahan khalifah pertama dalam Islam berbentuk monarki keturunan. Kerajaan Bani Umaiyah bertahan agak lama juga. Semenjak jatuhnya kuasa itu ke tangan Muawiyah sehinggalah tahun 132H ketika Abul Abbas Assafah diangkat menjadi khalifah. Maka setelah itu bermulalah pemerintahan Kerajaan Bani Abbas dan berakhirlah pemerintahan Bani Umaiyah di Damsyik. Namun seorang daripada keturunan Umaiyah iaitu Abdul Rahman Bin Muawiyah bin Hisyam bin Abdul Malik berjaya menyusup ke Andalusia (Sepanyol) dan mendirikan alias meneruskan kerajaan Bani Umaiyah di sana sekira-kira Bani Abbas mula mengambil kuasa.

Sewaktu kecil Yazid dididik sangat manja oleh ayahnya. Lantaran itu dia membesar sebagai anak bangsawan yang fakir tentang hal keagamaan. Dia hanya suka berhibur dan kurang mengambil peduli hal-hal yang lebih penting tentang kehidupan. Namun keistimewaannya ialah fasih dalam bahasa. Justeru dia pandai bersyair. Meskipun pernah diberikan jawatan yang penting oleh Muawiyah ketika kekuasaannya namun Yazid tidak betah belajar untuk menjadi pemimpin yang baik. Kebanyakan ahli-ahli politik pada zaman tersebut mencadangkan kepada Muawiyah supaya dia menentukan anaknya Yazid menjadi khalifah selepas kematiannya. Ini bertujuan supaya tidak terjadi pertumpahan darah akibat berebut jawatan khalifah. Sebenarnya cara tersebut telah menyalahi sistem yang diperkenalkan oleh Islam iaitu melalui syura yang akhirnya bertukar kepada hak keturunan sehingga layak dinamakan raja sahaja, bukan khalifah.

Mataku masih merenung pusara Saidina Husain. Orang-orang Mesir agaknya bersimpati dan 'menjaga' keturunan Ahli bait. Barangkali sebab itu pusara Saidina Husain terjaga rapi. Aku masih terhimpit dengan pertembungan itu. Di benakku terpancul pelbagai persoalan. Siapa sebenarnya yang bersalah atau pihak mana yang betul. Muawiyah? Yazid? Husain sendiri... atau siapa? Malah persoalan itu berkubur sendirian. Aku sendiri tersihir dengan persoalan-persoalan tadi.

************

Utusan yang dihantar oleh Saidina Ali K.w kepada Muawiyah disuruh pulang dengan tangan kosong. Muawiyah akan menjawab surat Saidina Ali itu dengan menghantar utusannya sendiri. Tidak lama selepas itu dihantarnya balasan surat Saidina Ali itu melalui utusannya ke Madinah. Surat kosong itu hanya tertulis 'bismillahirrahmanirrahim' dan diluarnya tertera tulisan 'dari Muawiyah bin Abu Sufyan kepada Ali bin Abi Thalib'. Tanpa perkataan 'Amirul mukminin' jelaslah bahawa Muawiyah belum mengakui bai'ahnya terhadap Saidina Ali K.w. Malah Muawiyah telah mempersiapkan tenteranya untuk memerangi pembunuh Saidina Usman r.a. Manakala lain pula halnya di Madinah, Muawiyah dipandang telah derhaka kerana keengganannya mengakui kekuasaan khalifah yang sah, sebab itu halal pula memeranginya.

Muawiyah seorang yang cekap politik, bijaksana dan pintar mengatur urusan dunia. Memeluk Islam sewaktu Fathu Makkah. Dia adalah juru tulis; bahkan penulis wahyu kepada Baginda Rasulullah dan turut meriwayat hadith. Sememangnya para sahabat mempunyai kelebihan masing-masing yang berbeza. Malah ada riwayat yang menyatakan dia seorang yang bijak berdampingan dan mempunyai pengaruh yang kuat. Meskipun begitu kemenangannya menjawat jawatan khalifah bukanlah di atas kehendak umum tetapi melalui percaturan Amru bin Al-'Ash sewaktu mengikat perdamaian dengan Abu Musa Al-Asy'ari di Daumatul Jandal. Di sinilah bermula suratan tersirat dan seribu satu hikmah yang tersembunyi sehingga kurang diketahui oleh kebanyakan umat Islam.

Sebenarnya Muawiyah sangat menginginkan jawatan khalifah itu selepas kematian Saidina Usman r.a. Sedangkan Saidina Ali k.w diangkat menjadi khalifah. Di kala itu huru-hara selepas pembunuhan Saidina Usman r.a masih belum reda. Ini memungkinkan Muawiyah mencapai impiannya itu. Sementelah untuk mencapai hasratnya, Muawiyah mengatur pelbagai helah siasahnya. Berlaku beberapa siri peperangan yang merugikan umat Islam. Kematian demi kematian. Di antaranya peperangan Jamal (unta) dan peperangan Siffin.

Sewaktu pertempuran di medan Siffin tercetus tentera pimpinan Saidina Ali K.w hampir berjaya menewaskan tentera Muawiyah. Sehingga terdengar laungan meminta supaya menghentikan peperangan dan berhukum mengikut kitab Allah. Maka terjadilah gencatan senjata. Muawiyah mengusulkan supaya dilakukan Majlis tahkim dengan Amru bin Al-Ash mewakili Muawiyah sedangkan Saidina Ali k.w keberatan melepaskan Abu Musa Al-Asyari menjadi wakilnya. Namun orang ramai telah memilihnya dan berkeras. Saidina Ali pasrah.

*********

Di luar sana hari semakin gelap. Lampu-lampu masjid telah lama menyala. Musim panas di Mesir membahang bingit. Siang lebih panjang dari malam. Orang awam berada di mana-mana. Bingar kenderaan masih kedengaran. Penumpang-penumpang menyesakkan kenderaan awam. Bas merah terutamanya sebab nilai tambang cuma rubu'. Aku masih termangu sendirian. Seorang siswa menghampiriku. Aku sempat merenung tajam ke arahnya. Dia sebenarnya kukenali. Teman seperjuangan yang turut bersama di Al-Azhar. Cuma dia seniurku. Dia menepuk bahuku. Aku menoleh membuang pandang sambil tersenyum tawar. Tangan kami berjabat mesra.

"Akhi Taufiq! Hari dah nak maghrib, mengapa masih sendirian di sini?" Tegur Azmi membuka bicara.

"Ana nak solat di sini. Lepas tu barangkali akan menyusuli Fuad di Masjid Musa. Kami ada mau'id tasmi' Al-Quran dengan Sheikh Fathi." Jelasku tanpa disoal.

"Dari tadi ana tengok akhi di sini. Mesti ada sesuatu yang difikirkan." Azmi meneka.

"Melihat pusar Saidina Husain ana terkenang tragedi pertumpahan darah di Karbala. Tetapi tidak terniat untuk menyalahkan sesiapa." Jawabku sambil tertunduk muka memandang permaidani.

"Baguslah kalau begitu. Sewajarnya kita menjadi orang yang mu'tadil dalam hal seperti ini." Tutur Azmi sambil tersenyum tawar.

"Akhi Azmi... boleh ana tanya sesuatu?" Pintaku.

"Tentang apa akhi Taufiq?"

"Siapa yang terlibat dalam komplot pembunuhan Saidina Ali k.w?"

"Mengikut apa yang ana tahu pembunuh Saidina Ali ialah Ibnu Muljam. Anta boleh rujuk kitab Feqh sirah karangan Al-Buthi. Mengapa?" Azmi kembali melontar persoalan.

"Ibnu Muljam golongan khawarij kan?"

"Ya... Malah bukan cuma Ibnu Muljam merancang untuk membunuh Saidina Ali, golongan khawrij telah berpakat untuk membunuh Muawiyah dan Amru bin Al-Ash juga. Tetapi yang berhasil cuma Ali. Muawiyah dan Amru terselamat. Khawarij mengatur politik kotor. Ramai orang Islam yang tak tahu. Malah lebih menyedihkan ada yang menuduh Muawiyah yang bersalah tanpa usul periksa." Jelas Azmi.

Kelihatan jemaah sudah mula memenuhi ruang masjid. Azan dilaungkan. Sayu rasanya hati. Keinsafan menerjah dalam diri. Umat Islam dibina atas kesatuan. Kalimah Tauhid menjadi neraca. Tuhan itu Esa tiada dua atau bertiga. Aku kira konsep triniti terlalu lemah sebenarnya. Namun Kristian masih mengunggulinya. Dan setiap percaturan alam adalah qudrah dan iradah Ilahi yang Maha Esa. Kalaulah tuhan itu berdua atau lebih sudah tentu kehendaknya berbilang. Sedangkan alam tidak terjadi secara kebetulan kerana perkara yang terjadi kebetulan hanya jadi sekali sekala. Sedangkan percaturan Ilahi terhadap siang dan malam, peredaran cakerawala pada paksinya mengikut ketetapan, kejadian pasang surut air laut, dan sebagainya terjadi berulang kali. Malah ada peraturan pula. Sebagaimana siang yang bercahaya cerah, malam pula bumi akan gelap dari simbahan cahaya matahari. Itulah sunnatullah.

Khilafah jatuh ke tangan Saidina Muawiyah. Golongan khawarij masih ingkar mengakui kekhilafahannya. Ini bermakna golongan khawarij memusuhi Saidina Ali dan berdendam terhadap pemerintahan Muawiyah. Itu tidak penting. Meskipun kuasa khalifah beralih tangan namun masih dipegang oleh kuasa Islam sehinggalah jatuhnyanya kerajaan Turki Uthmaniyah pada 1924. Khilafah telah benr-benar hilang. Umat Islam patut sedar. Amanah untuk mengembalikan khilafah Islam itu semula kerana itulah antara kemenangan awal komplot zionis. Mustafa Kamal At-Tartuk gemilang sebagai pemerintah Turki moden sedangkan dia adalah alat zionis antarabangsa. Umat Islam tidak menyedarinya. Orientalis menukilkan kegemilangan sumbangan At-Tartuk sedemikian dalam catatan sejarah. Anak-anak umat Islam tertipu dengan penjajahan pemikiran itu. Malah di negara-negara umat Islam lahir pemimpin-pemimpin yang menaladani corak ideologi At-Tartuk.

Pada tahun ke 60H Muawiyah meninggal dunia dan Yazid menjadi gantinya. Saidina Husain ketika itu berada di Makkah menerima surat dari Kufah memintanya ke sana. Saidina Husain bersiap-siap bersama sanak saudara dan kerabatnya untuk bertolak ke Kufah. Ada riwayat yang menyatakan beliau dilarang berbuat demikian. Namun tidak diendahkannya. Maka rombongan Saidina Husain pun bertolak meninggalkan Makkah. Setelah hampir tiba di Kufah barulah dia mendengar perkhabaran bahawa kaum Bani Umaiyah telah bersedia hendak memeranginya. Tetapi dia tidak betah untuk kembali ke Hijaz. Dia nekad. Dia akhirnya terbunuh di Karbala.

Selesai solat maghrib aku dan Azmi berpisah. Azmi akan ke 'Atabah. Katanya ada urusan. Aku mengambil teksi ke Masjid Musa di Haiyu Sabiek. Barangkali Fuad sedang menantiku di sana. Di dalam perut teksi aku melayan diri dan tanpa kusedari air mata Karbala itu menitis lagi di Kota Kaherah mengenangkan bilakah khilafah akan kembali.

TAMAT


Glosari:

ihtimal : pertimbangan
ra'yu : pandangan akal
tarikh : sejarah
berjidal: berbahas
Madah : mata pelajaran
talaqi : kelas pengajian
mau'id : janji
tasmi' : memperdengarkan (pengajian Al-Quran)
bai'ah : kesetian
rubu' : 25 sen (nilai mata wang)
mu'tadil: pertengahan/ adil
qudrah : kuasa
iradah : kehendak
'Atabah : nama tempat

Nota- Glosari perkataan yang disertakan sekadar untuk menterjemahkan maksud penceritaan karya ini. Sebarang pembetulan dialu-alukan.

Rujukan:

Kitab al-Bidayah Wan nihayah karangan Imam Ibnu Kathir.
Kitab Feqh Sirah karangan Dr Muhammad Said Ramadhan Al-Buthi.
Sejarah Umat Islam karangan Prof. Dr Hamka.


Oleh,

Akhi Masrawi
Tanta, Egypt.

© AKHI MASRAWI



Kembali ke JURNAL                                                    sila klik Respon/Komen
© Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: mypujangga@yahoo.com (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~









Masihkah Ada Sinar


( Tajuk asal cerpen ini ialah Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah). Pernah tersiar di Karangkraf.com, Melayu.com. Melaluinya aku menerima banyak emel terutama mereka menyisipkan kalimah kagum... dan aku terasa kerdil.)


Rambutnya mengerbang diterbangkan bayu petang. Angin pantai bertiup sepoi. Mentari hampir terbenam di ufuk barat. Menghasilkan langit berwarna jingga. Sebuah buku catatan tercampak ke pasir pantai lalu terbiar. Di sebelahku duduk seorang wanita. Dia menanangis hiba. Esakannya semakin menjadi-jadi menyebabkan aku serba-salah. Aku semakin gelisah dengan pertemuan petang itu.

"Sejak kau ke Jordan aku cuba untuk melupakan kau. Tapi aku gagal." Dia mula berbicara setelah lama membisu sambil menyeka air mata yang membasahi pipi gebunya. Matanya berkaca. Rambutnya mengurai hingga melebihi paras bahu. Kejelitaan terserlah.

"Kenapa kau nak lupakan aku?" Tanyaku ingin kepastian.

"Bagiku dunia aku dan kau telah tamat selepas kita mengatur haluan sendiri." Suaranya hiba.

Dia banyak berubah. rambutnya kini tidak berhijab lagi. Auratnya terbuka sewenangnya terhadap lelaki ajnabi.

"Kau berubah Aisyah. Kau yang kukenali dulu bukan seperti yang berada di depan mataku kini." Tuturku bernada kesal. Lima tahun aku meninggalkan kampung untuk menyambung pengajian di Jordan. Masa telah merubah segalanya. Seperti pantai juga, saban waktu berubah.

"Suasana yang mengubah aku. Aku terjun ke dunia sosial yang bebas dari kongkongan. Rentak kehidupan kami di kolej tidak terbatas dengan hukum-hakam Islam. Aku bisa berbuat apa yang kuingini. Lagipun rumah sewa bukanlah institusi yang baik untuk mendidik diri" Suaranya menahan getar.

Selepas SPM Aisyah dan aku memohon ke Intutusi Pengajian Tinggi Awam. Kami menerima tawaran Matrikulasi di UIAM. Namun dalam masa yang sama aku menerima tawaran untuk menyambung pengajian di Jorden. Ayah ingin benar aku ke luar negara. Aku terpaksa akur. Berita itu kusampaikan kepada Aisyah dengan hati hiba. Tidak kusangka Aisyah tidak dapat menerimanya. Aisyah menghilang sebulan sebelum aku bertolak ke Jordan. Di hari keberangkatan keluargaku gembira bukan kepalang. Namun kelibat Aisyah tidak kelihatan. Aku sayu tanpa kehadiran seorang teman.

Aku mengenali Aisyah ketika aku dan dia sama-sama bersekolah di sekolah menengah. Meskipun dia tinggal di kampung yang sama denganku namun aku tidak mengenalinya sewaktu berada di sekolah rendah lantaran dia mendapat pendidikan rendahnya di sekolah yang berlainan denganku. Keluarganya berpindah ke kampungku. Waktu itu umurku baru sepuluh tahun. Aku masih ingat. Menurut ibuku keluarganya memang bukan orang luar. Neneknya dulu anak jati di kampung itu juga. Tetapi setelah ayahnya berkahwin dengan ibunya mereka tinggal di daerah lain. Sekarang bapanya seorang pesara tentera. Berpindah-randah dan menetap di kem-kem tentera yang berlainan saban musim adalah perkara biasa bagi keluarga tentera. Setelah ayahnya bersara mereka sekeluarga pulang menetap di kampung neneknya.Waktu itu dia tidak bersama keluarganya. Dia masih tinggal bersama ibu saudaranya. Barangkali untuk menghabiskan sekolah rendah.

Keputusan peperiksaan UPSR aku cuma terbaik di peringkat sekolah luar bandar. Namun sudah melayakkan untuk aku mendapat biasiswa di sekolah menengah daerahku nanti. Sebab aku masih ingat itulah kata-kata guru kelasku. Buktinya aku mendapat surat tawaran untuk belajar di kelas khas dengan beberapa tawaran lain. Waktu itu ayahku mahu aku melanjutkan pengajian di peringkat menengah di sekolah aliran agama. Sekolah yang ayah maksudkan itu bagiku terlalu asing. Sepatutnya aku menerima saja tawaran dari kementerian pendidikan itu awal-awal lagi. Aku cukup kenal keluargaku. Kami bukan golongan berada. Malah untuk membeli baju raya saban tahun buat kami adik beradik ayah terpaksa memakai baju lusuhnya untuk beberapa kali menyambut hari raya. Kata ayah dia sudah gembira kalau anak-anaknya gembira dengan baju baru. Itulah ayah yang aku kenali.

Sewaktu menolak tawaran pengajian di kelas khas sekolah menengah di daerahku, aku diherdik beberapa orang rakan sekelasku. Kata mereka keputusan yang aku ambil tidak relevan. Tapi aku cukup bangga bila guru besar sekolahku mengakui pilihanku untuk menyambung pengajian di sekolah menengah aliran agama adalah pilihan paling tepat. Sekolah itu berasrama penuh. Ini bermakna aku akan terpisah dengan keluargaku. Perkara yang aku tidak pernah impikan sebelumnya. Aku juga akan berpisah dengan rakan-rakan sepermainanku. Aku akan mengharungi hidup baru di sebuah dunia asing. Hanya ayah sahaja yang menghantarku ke sekolah itu untuk mendaftarkan diri. Sekolah baruku itu unik sebenarnya. Para pelajar kebanyakkan adalah yang terpilih dinilai dari keputusan UPSR mereka. Di sekolah inilah segalanya bermula.

Takdir mengatasi segalanya apabila Aisyah juga ditakdirkan belajar di sekolah yang sama denganku. Aku memang tidak pernah menyangka ada rakan sekampungku yang akan belajar bersamaku di kelas yang sama. Sewaktu sesi taaruf pun aku memang yakin tiada pelajar lain yang menyebut nama kampungku. malah dari sekolah rendahku tentu saja jauh sekali. Hari demi hari dilalui dengan tabah. aku mula belajar hidup berdikari di sekolah itu. Aku sudah terbiasa sebenarnya dengan kerja-kerja seperti membasuh baju sendiri, mengemas pakaian, menggosok baju dan sebagainya. Oleh itu aku tidak merasa kekok untuk hidup seperti itu. Apa lagi semua pelajar di asrama sememangnya terdidik begitu. Sehinggalah tiba cuti penggal kami akan pulang bercuti di kampung masing-masing.

Seorang gadis merayau-rayau di tepi pantai. Berbaju kurung, bertudung merah jambu dan membimbit selipar sambil jalannya berkaki ayam merentas pantai. Aku mencuri pandang ke arahnya. Aku yakin dia adalah Aisyah, teman sekelasku. Aku berlari ke arahnya. Sambil mengucap salam dan tersenyum mesra.

"Aisyah...?" Tagurku.

"Ya... Ooo Syam. Terkejut Aisyah."

"Buat apa di sini? Bercuti?" Soalku.

"Saja. Bersiar-siar. Lagipun ni kan kampung Aisyah juga. Salahkah seorang anak desa bersiar-siar di pantai desanya? Untuk sekadar mencari ketenangan. Kau pula?"

"Aku juga mencari ketenangan. Macam kau. Lagipun tak lama lagi kita nak periksa PMR. Aku belum benar-benar bersedia." Aku menjawab petah. Mengingatkannya tentang peperiksaan.

"Kalau kau nak nota... cakaplah." Pelawa Aisyah sambil berlalu pergi. Detik itu kali pertama aku berjaya berbual dengannya. Sememangnya Aisyah pelajar pintar. Di kelas dia sasaran pujian guru-guru. Aku cemburu dengan kelebihannya. Kini tidak kusangka pelajar yang kusangka sombong sebelum ini mudah mesra sebenarnya. Dugaanku meleset. Dia gadis kampungku. Tiada bezanya. Di Seberang Tanjung, rutin hidup adalah sama. Sebuah kampung nelayan yang jauh dari kebisingan dan kekalutan kota. Kami menghirup angin laut saban waktu. Berkongsi kesejukan tika dinihari. Dan berlabuh di pantai sambil berkongsi cerita dengan camar-camar.

Sewaktu keputuan PMR diumumkan akulah manusia paling bertuah. Aku berjaya cemerlang. Aisyah juga begitu. Namun dia jatuh ke tangga kedua. Kami menerima anugerah di hari penyampaian anugerah sekolah. Sejak itu aku dan dia semakin rapat. Keluarga kami tidak melarang hubungan itu. Barangkali kerana aku dan dia adalah kawan satu sekolah.

Sewaktu SPM kami belajar bersama-sama. Hasilnya keputusan amat membanggakan. Kami mohon Matrikulasi UIAM. Tapi aku sisihkan diri menurut kehendak keluarga. Aku merantau santak ke bumi Jordan. Berita tentang Aisyah tidak lagi kudengari. Sehingga di tahun akhir pengajian aku menerima surat dari Kak Long. Warkahnya bercerita tentang Aisyah. Aku terkasima. Aisyah menolak tawaran ke UIAM. Keluarganya tidak mampu menyekat kehendaknya. Dia menyambung pengajian di sebuah kolej swasta. Hidup di rumah sewa bersama rakan-rakan. Dan khabarnya Aisyah sudah banyak berubah. Isi surat Kak Long itu tercoret seribu tanda tanya.

"Kau lupa pada agamamu Aisyah! Kau tak layak menyalahkan suasana. Kita sepatutnya membentuk suasana. Bukan kita terhanyut dengan arus suasana." Aku bersuara memprotes.

"Kau yang mengajar supaya aku lupa Syam!" Bentak Aisyah. Kali ini nadanya kesal.

"Aku?"

"Ya... Kau yang ajar aku supaya mementingkan diri. Kau hanya tahu untuk mengejar cita-cita kau. Kau tinggalkan aku. Kau pergi sampai Jordan. Aku di sini tidak kau hiraukan. Tentu kau sekarang bahagia kan sambil melihat orang lain merana?" Aisyah tersenyum sinis dan akhirnya ketawa. Aku buntu.

Angin tetap bertiup mesra. Camar berterbangan di awan tinggi. Kekadang menjunam hampir ke perahu nelayan sambil memungut sisa-sisa ikan. Sesekali camar mencuri ikan-ikan segar dari dalam perahu. Nelayan merungut resah.

Aku rasa cukup bersalah dengan kata-kata Aisyah semasa pertemuan dengannya petang tadi. Aisyah berlari meninggalkan aku keseorangan. Buku catatan Aisyah kuambil. Pasir-pasir pantai yang melekat kusapu. Barangkali Aisyah sengaja meninggalkannya untukku. Ku selak helaian demi helaian. Aku tergegau metah. Rupanya ada catatan Aisyah. Aku membacanya tabah.

Syam...

Kepergianmu meninggalkan aku di Seberang Tanjung memilukan. Aku sedar kau perlu memenuhi impian keluargamu. Aku tolak tawaran matrikulasi ke UIAM. Bagiku tiada bermakna aku terima tanpa kau di sisi. Aku ingin mencuba dunia baru. Dunia yang lebih bebas. Aku cuba untuk melupakanmu. Tapi tak berdaya. Aku amat gembira dengan dunia baruku. Tinggal di rumah sewa bersama rakan-rakan yang sekepala. Tidak kusangka aku terhanyut dengan kehidupan bodoh. Aku mula meninggalkan perintah agama. Solat aku abaikan. Sehingga anak-anak metropolitan mengajarku untuk berpakaian mendedahkan aurat. Aku barangkali sudah hina di sisimu. Benar kata-kata kau aku banyak berubah. Tapi aku paling takut untuk memberitahumu. Aku takut. Aku risau kau akan terkejut dengan apa yang aku alami. Aku tak sanggup untuk mengecewakan seorang teman sepertimu.

Rakan keparatku mengheret aku ke dunia sial. Aku dirasuk ifrit setelah disuntik dadah dan menelan pil khayal. Duniaku hilang. Maruahku tergadai. Aku tidak diperkosa lelaki. Tapi terjerumus ke dalam dunia keji lesbian. Meminati kaum sejenis. abnormal bukan?

Aku mahu pulang ke pangkal jalan. Tolonglah aku Syam... Aku merayu. Walaupun kau bakal memandang keji terhadapku selepas ini, aku pasrah. Aku tidak mahu menipu kau. Aku sedar meskipun ayahku berdarah satria dan ibu pendidik yang unggul; iman tidak mengalir melalui keturunan. Iman juga bukan bahan jualan. Lantaran itu aku terpana dengan ujian dunia. Aku mahu bersegera bertaubat. Meskipun kau tidak bisa menerimaku kembali setelah mengetahui rahsia peribadiku ini. Janganlah kau buang aku dari menjadi seorang teman. Aku pasrah.


Salam tulus daripada seorang teman,

Aisyah


Aku terkasima. Catatan yang diluar dugaan. Aisyah terperangkap dengan lesbianisme. Gadis sebaik itu turut teruji. Sebak. Sepeninggalanku ke bumi Jordan aku tidak pernah memikirkan hal seumpama itu bakal terjadi. Mereka yang terjebak seks abnormal biasanya sukar mendapat jalan pulang. Homoseks adalah serpihan jenayah Kaum Nabi Allah Luth a.s. Manusia menyukai kaum sejenis. Malah teori libido yang diasas Sigmund Frend aku kira mendasari aliran yang sama.

Sejarah Kaum Nabi Luth a.s dimusnahkan Allah dengan membalikkan perkampungan mereka lantas Laut Mati itulah menjadi bukti sehingga kini. Namun sejarah Laut Mati telah dilupakan khalayak. Manusia berkunjung ke Laut Mati untuk melancong, bukan mencari keinsafan. Mereka kembali ke zaman gelap. Malah Lesbianisme memerangkap kaum hawa. Barangkali kerana kebencian yang meruap terhadap kaum lelaki atau sekadar untuk melampias nafsu berahi. Aku berfikir sejenak. Berteleku. Air mata bertakung di kelopak mata. Rupanya Aisyah menaruh hati kepadaku. Aku manusia tanpa perasaan. Menyalahkan diri sendiri.

Semalam selepas makan malam ibu bertanyaku tentang hubunganku dengan Aisyah. Aku terdiam. Ibu mencuka. Aku rasa bersalah. Ibu menyatakan kekesalannya terhadap perubahan Aisyah. Dulu dia selalu bertamu di teratak kami. Tetapi semenjak aku ke Jordan hubungan kian renggang. Ibu Aisyah ada juga bertandang sesekali bertanya khabar. Ibu mahu aku ada ikatan dengan Aisyah. Berkawan tidak salah tetapi syariat mesti dijaga. Ibu tahu aku bertemu Aisyah di pantai. Kata ibu, Aku perlu berfikir matang. Sekurang-kurangnya bertunang. Aku bingung. Kalaulah ibu tahu...

Aku memerhatikan telefon dengan seribu pengharapan. Sudah sebulan kepulanganku dari luar negara berlalu dengan pantas. Ibu, ayah dan Kak Long pula tiada di rumah. Mereka ke rumah bakal besan. Kak Long akan berkahwin bulan depan. Adik-adik semua ke sekolah. Aku sendirian di rumah. Kuhampiri telefon dan mendail membuat panggilan ke rumah Aisyah. Tetapi tiada jawapan. Aku hampa.'Kemana agaknya Aisyah?' Bisik lubuk hatiku.

Aisyah menghampiriku dengan wajah berseri-seri. Aku melihat kelibatnya samar-samar. Kabus amat tebal menyelubungi ruang maya. Dia memakai serba putih. wajahnya cukup bersih.

"Syam... maafkan aku! Aku keji di sisimu. Lupakan aku."

Hanya kalimah itu yang dilafazkan. Aku membuka mulut. Percakapanku tidak didengari. Aku kaget. Aku cuba untuk mengejar Aisyah. Tetapi langkahku kaku. Tiba-tiba bahuku ditepuk dari arah belakang.

"Asstaghfirullah..." Aku bermimpi rupanya. Ibu menggeleng kepala.

"Hari dah senja. Tak baik tidur." Tutur ibu sambil berlalu pergi. Rupanya selepas asar tadi aku tertidur di kerusi malas.

Selesai solat Maghrib berjemaah di masjid aku sempat menyampaikan tazkirah. Masyarakat sebenarnya dahagakan ilmu akhirat. Aku mengisi sekadar terdaya. Selesai solat Isyak aku sengaja berlengah. Malam itu aku beristikharah. Aku mohon diberikan petunjuk Ilahi untuk kebaikan.

Aku mengunjungi pantai untuk mencari ketenangan. Di atas batu besar... duduk seorang wanita. Aku dapat mengagak itulah Aisyah. Rambutnya berselindung di sebalik selendang tipis. Aku menghampirinya. Dia sedang menangis. Kehadiranku disedari. Aku melabuhkan punggung tidak jauh darinya di atas sebatang kayu Rhu tumbang yang sudah hampir reput.

"Aisyah... Maaf buku catatanmu telah aku baca." Aku memulakan perbualan. Aisyah masih diam.

"Aku dah buat keputusan. Cinta yang murni memerlukan pengorbanan. Maafkan aku Aisyah. Aku tidak dapat menerima kau... kecuali selepas kau berubah menjadi Aisyah yang dulu." Tuturku perlahan.

Aisyah memandang aku sayu. "Kau masih mahu menerima aku sekalipun..."

"Cukuplah Aisyah! Aku akan melamar kau. Ingatlah Aisyah antara kita sebenarnya telah lama terukir cinta. Sayangnya masing-masing ego untuk meluahkan. Peristiwa lepas usahlah diungkit lagi. Tidak penting siapa yang bersalah kerana cinta antara kita lahir dari kesetiaan" Aku mengumpul kekuatan. Moga pilihanku tepat. Aku tidak mahu akan terus berasa bersalah. Aku perlu selamatkan Aisyah, temanku.

Aisyah kembali mengukir senyum. Keayuannnya terserlah.

"Maafkan aku Aisyah...Aku terlewat meluahkan perasaan ini. Sekarang aku bersedia menerima tanggung jawab besar itu. Perkahwinan adalah wasilah cinta hakiki suami isteri."

"Syam... pimpinlah aku. Bimbinglah aku menjadi isteri solehah."


TAMAT




Oleh,

Akhi Masrawi
Tanta, Egypt.

Feb 2002
© AKHI MASRAWI



Kembali ke JURNAL                                                    sila klik Respon/Komen
© Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: mypujangga@yahoo.com (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~


KARYA-KARYA Akhi Masrawi

Lagenda Gadis Kedai Bunga | Warkah Buat Puteriku | Air Mata Karbala Menitis Di Kota Kaherah | Masihkah Ada Sinar | Kerikil Cinta Humaira | Tahanan | Hingga Titisan Terakhir | Di Dalam Dewan Besar itu | Cinta Sufiah | Warkah Terakhir Dari Ramallah

Sebuah Karya Akhi Masrawi

Kerikil Cinta Humaira



"KAU lelaki tak punya perasaan." Sergah suatu suara mematikan lamunanku suatu petang.
"Kau lelaki pasif. Angkuh dan ego dengan kekacakanmu. Tidak pernah memikirkan hati manusia lain yang bernama wanita." Suatu suara lain lebih merdu persis suara wanita.

"Aku?" Aku bertanya suara-suara yang aku dengar tadi.
"Ya..." Mereka menjawab serentak. Aku terkasima.

"Siapa kamu berdua. Apa tujuan kamu mengganggu aku?"
"Kau tak kenal kami Akhi?" Soal suara si wanita yang merdu itu. Aku cuma menggeleng. Tubuhku mula menggeletar. Aku bukan bermimpi lagi. Suara itu semakin jelas didengari. Ia bukan ilusi.
"Aku tak kenal kamu berdua!" Jelasku bernada getar.

"Kau yang mencipta kami. Kau lupa?"
"Cipta??? Cipta... aku cipta kamu berdua?" Aku semakin bingung. "Bila pula aku cipta kamu berdua?" Aku kembali melontar persoalan.

"Kau memang cepat lupa... Akhi. Aku tahu kau seorang penulis karya seni tapi hari ini kau melupakan watak-watak karyamu yang pernah kau cipta itu." Suara si lelaki mendatar. Aku dapat membaca kekecewaan yang terzahir.

"Kau kagum bila karyamu dipuji-puja. Tapi kau sepatutnya merasa bersalah menciptakan watak-watak seperti kami! Apa motif kau berkarya Akhi?" Soalan merdu wanita tadi kembali menghantui.

"Kenapa pula kamu berdua kata begitu?" Aku memberanikan diri bertanya suara-suara tadi. Aku bangun dari katil bujangku mengahampiri jendela bilik di sebelah barat. Suara tadi seolah-olah terpacul dari situ. Aku yakin aku perlu mendapatkan penjelasan selanjutnya dari mereka.

"Habis???" Soal suara si lelaki kembali.
"Aku tidak gemar berbicara dengan orang yang tidak aku kenali!"
"Kau memang pandai mencipta provokasi dan falsafah yang menyusahkan orang."
"Aku tidak bermaksud begitu."
"Itu bukan urusan aku."
"Siapa kamu berdua? Aku lebih suka mengenali..." Tuturku lembut.

"Baiklah... Aku jelaskan padamu yang aku ini watak yang pernah kau cipta dalam karyamu. Aku muncul untuk menuntut hak aku."
"Hak kau??? Siapa kau wahai suara?"
"Aku Syam. Kau tentu kenal bukan?"

Syam! Akalku ligat berfikir. Mencari insan bernama Syam. Tetapi gagal untuk bertemu. Aku jadi serba salah.

"Aku Aisyah." Sambung suara merdu yang kian lama terdiam.
"Syam... Aisyah?" Aku masih mencari.
"Kami berdua watak yang kau cipta dalam karyamu yang berjudul Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah). Apa kau dah lupa. Ahhh..sesingkat itu kau melupakan kami."

"Aku masih ingat..." Jawabku sepontan.

"Ha..Ha..ha..ha...Hi..hi..hi.." Suara Syam dan Aisyah ketawa mengilai. Aku berundur sedikit ke belakang. Tubuhku seram sejuk. Aku rasa mahu saja aku terus lari meninggalkan suara-suara tadi. Suara-suara yang aneh dan menakutkan. Bulu romaku kembali terpacak.



Tiba-tiba pintu bilikku terkuak. Aku terkejut lagi untuk kesekian kalinya. Jantungku berdegup semakin kencang. Kak Long masuk ke dalam bilikku sambil menatang sedulang juadah. Aku mengawal diri supaya tidak timbul syak di hati Kak Long. Peristiwa tadi biarlah menjadi igauanku seorang. Kak Long tersenyum ke arahku. Aku membalas dengan senyuman yang hambar. Suara-suara tadi sudah menghilang entah ke mana.

"Hai Syam lain macam saja akak tengok. Kenapa?"
"Syam tak apa-apa." Ujarku manja.
"Ada masalah ke adik akak ni?"
"Tak adalah Kak Long!"
"Betul ni?" Aku mengangguk terharu. Kak Long meletakkan dulang berisi juadah minum petang di atas meja. Aku cuma memerhatikan.
"Ishk...sayang betul Kak Long kat Syam. Buat susah susah saja." Aku berbasa-basi. Senyuman Kak Long semakin manis. Kak Long mencapai sebuah Novel dari rak bukuku seraya menunjukkan reaksi meminjam sambil berlalu keluar. Pintu kembali tertutup. Kak Long minat membaca. Malah dia pernah menulis Cerpen dan puisi. Tetapi Kak Long sudah usai semenjak bersuami.

Aku merapati meja bacaanku. Kemudian menekan punat power supaya Komputer peribadiku yang semakin dimamah usia itu kembali bertugas. Akalku ligat mencari-cari watak-watak yang pernah aku ciptakan. Seolah ianya seperti tugasan dari suara-suara tadi yang kian mengahantui benak. Aku mula menceroboh fail-fail yang tercipta dari folder-folder yang berlambak-lambak itu. Kuselak satu demi satu karya-karya yang pernah aku hasilkan. Bermula dengan puisi-puisi, esei dan cerpen. Aku lebih tertarik menyelongkar cerpen, kerana biasanya aku gemar mencipta watak menerusi cerpen atau novel. Jarang aku mencipta watak-watak lain dalam genre penulisanku yang lain.

Akhirnya aku menemui cerpen berjudul Dia Seorang Teman. Seperti yang dinyatakan suara-suara tadi. Aku terus menekan mouse komputerku. Malangnya fail itu sudah kosong. Ini bermakna aku harus menyelongkar disket pula. Usaha tidak berpenghujung di situ walaupun disket yang aku maksudkan itu telah dipinjam oleh adikku Syahrul. Mindaku kembali ligat memikirkan alternatif menemukan kembali kisah Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah).

Akhirnya aku mampu membuat konklusi dari sinopsis yang aku cantumkan dari ingatan yang menerpa membantu. Sebenarnya 'Dia seorang teman' adalah sebuah cerpen yang mengisahkan tentang kehidupan dua orang teman. Watak hero bernama Syam; seperti namaku dan heroinnya bernama Aisyah. Berlatarkan kehidupan sebagai anak desa Tambak Budi sebuah kampung nelayan Syam dibesarkan dalam keluarga sederhana dan belajar hidup berdikari sejak kecil lagi. Manakala Aisyah membawa watak gadis pintar yang juga anak jati Seberang Tanjung tetapi membesar dan menghabiskan usia kanak-kanaknya bersama Ibu saudaranya di daerah lain. Bapanya seorang pesara tentera sedang ibunya pula seorang pendidik.

Syam bertemu Aisyah di Pantai desanya sewaktu berhibur mendengar kicauan camar dan memerhati alam. Kebetulan mereka satu sekolah malah sekelas. Semenjak sapaan pertamanya dibalas, Syam dan Aisyah membina keakraban sebagai kawan sekelas. Berpendidikan di Sekolan Agama dan tinggal di asrama. Mereka membawa watak bijak sehingga berjaya cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM hasil kecekalan usaha bersama.

Setelah SPM diumumkan Syam dan Aisyah memohon ke Matrikulasi UIAM. Permohonan mereka berjaya. Namun Keluarga Syam menginginkan dia melanjutkan pelajarannya ke Jordan. Kemahuan keluarga diturutkan dan Aisyah terasa diabaikan. Aisyah hilang pertimbangan. Dia menghilangkan diri. Sewaktu permusafiran Syam ke Jordan, Aisyah menukar haluan. Dia tidak mendaftar di Matrikulasi UIAM sebaliknya memilih untuk belajar di Kolej Swasta. Tinggal bersama rakan-rakan liar di rumah sewa. Aisyah mula berubah. Dia meninggalkan kelazimannya menutup aurat. Akhirnya Aisyah terjebak alias diseret ke dunia jengkel Lesbianisme. Mencintai kaum sejenis dan hubungan Seks di luar tabie. Syam terpana sewaktu mengetahui berita itu melalui buku kecil milik Aisyah yang sengaja ditinggalkan terlempar di pantai sewaktu bertemu dengan Syam yang baru pulang dari Jordan.

Dari apa yang tertulis dalam buku itu, barulah Syam mengerti Aisyah menaruh harapan yang tinggi dalam hubungan mereka. Diruntun desakan ibunya (syam) supaya perhubungan antaranya dengan Aisyah ada pertalian dan ikatan. Akhirnya Aku (penulis) menemukan jodoh mereka. Syam bertemu Aisyah di pantai setelah memohon petunjuk melalui solat istikharahnya. Syam melamar Aisyah. Cinta yang terbina dari kekuatan kesetiaan. Percintaan perlu ada pertautan iaitu perkahwinan. Namun sayang sekali.... adakah Syam yang terlambat atau Aisyah yang bersalah!!!

AaaaaahhhhHHHHHH…..!!!!! Pening! Mindaku ligat berfikir tentang kisah yang pernah aku nukilkan. Di mana salahku? Sehingga aku diserang suara-suara ganjil yang mengaku sebagai Syam dan Aisyah. Aku pernah mencipta watak-watak lain. Misalnya watak Alif sebagai hero dalam cerpen berjudul 'Lagenda Gadis Kedai Bunga', watak Wirda heroinnya, Watak Fatimatul Zahra dalam cerpen 'Warkah Buat Puteriku', watak Taufiq, Fuad, Azmi dan Fikri dalam 'Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah', Alif, Siti, Fakrul dan Saiful dalam Nostalgia 797 malah banyak lagi; kesemuanya tidak pernah mengganggu aku. Tapi watak Syam dan Aisyah dalam cerpen Dia seorang Teman tiba-tiba menggangguku pula. Mengapa? aHHH... Aku kepeningan memikirkan hal itu. Apa salah aku sehingga Syam dan Aisyah seolah tidak berpuas hati denganku. Aku Buntu!

Aku menemukan mereka sebagai pasangan kawan yang ideal pada awalnya. Aku tautkan kasih sayang yang lahir dari jiwa seorang teman, sehingga saat perpisahan mereka dirasakan amat berat kala remaja. Aku wujudkan perasaan cinta yang terbina dalam runtunan jiwa remaja mereka berdua sewaktu dipisahkan. Dan aku temukan mereka di desa asal mereka sehingga Syam akhirnya menyatakan kecintaan yang lahir dalam jiwa mereka yang sudah lama terbina. Akhirnya aku tautkan percintaan murni mereka itu dengan perkahwinan sebagai ikatan yang sah. Di mana lagi silapku? Ah! Barangkali benarlah seperti yang pernah dituturkan; 'Sesuatu kelebihan yang ada pada diri seseorang, kadang-kala dinilai sebagai kelemahan oleh mereka yang berada di pojok yang lain.'

Plot-plot cerpen Dia Seorang Teman ligat bermain di mindaku. Aku mencicip milo yang masih berasap yang dihidang Kak Long. Kujamah cucur udang cicah kuah kacang pekat. Aku tersenyum sendiri. Jika suara-suara tadi datang lagi, sekurang-kurangnya aku sudah bersedia dengan jawapan untuk memastikan aku tidak bersalah.


Kak Long pernah manjadi penulis karya kreatif suatu masa dahulu. Dia Digilai peminat. Malah dari kalangan peminatnya seorang jejaka yang kini menjadi suaminya. Namun kini Kak Long sudah tidak aktif menulis lagi. Mengapa agaknya? 'Adakah dia juga diganggu watak-watak yang pernah dia cipta seperti apa yang aku alami? Kalau diganggu; adakah itu yang menyebabkan dia berhenti menulis?' Watak Syam dan Aisyah menuduhku lelaki tanpa perasaan, pasif, angkuh dan ego dengan kekacakan. Malah tidak pernah memikirkan perasaan orang lain terutama wanita. Aku bermonolog sendiri.

"Apa motif kau berkarya Akhi!" Soalan itu kembali menghantui. Maafkan aku Aisyah. Motifku, ingin meminta maaf daripadamu. Aku tidak pernah menafikan kau seorang teman yang baik. Kau hadir tika lara hati. Kaulah yang memujuk duka hati ini, melepaskan lara, memberikan semangat, mendorong kekuatan dan meresahkan jiwa sesekala warkahmu hadir mengusik.

Aku mengenali Aisyah sewaktu jiwa kekosongan sejurus gagal dalam cinta monyet. Cindrelela pertamaku terpaut hati pada lelaki lain. Belum sempat cinta itu mekar kami dipisahkan. Selepas SPM aku melanjutkan pelajaran ke Jordan dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Dia masih di peringkat pengajian menengah waktu itu. Perpisahan mengundang kecekalan, kejujuran dan kesetiaan. Namun itu semua sifar. Bibit-bibit cinta kami berakhir dengan kehadiran jejaka lain dalam hidupnya. Sewaktu menjelajah belantara ilmu di Bumi Laut Mati itu, Aisyah hadir mengisi kekosongan.

Aku minta maaf darimu... Aisyah. Aku tidak tahu seawal perkenalan itu cintamu berputik padaku. Sedangkan aku masih belum bersedia menerima cinta itu lagi setelah gagal dengan cinta pertama. Aku terkasima memikirkan perjalanan hidup di usia remajaku. Aku mula sedar kala perhubungan kita semakin akrab cemburuku mendahului segalanya. Mungkin hatiku mula membina istana cinta terhadapmu. Aku mendapat tahu kau menjalin hubungan dengan lelaki lain. Aku tidak betah menerimamu secara realiti lagi setelah itu, meskipun cintamu terhadapku semakin berkembang. Aku terseret mengungguli cara As-Syahid Syed Qutub yang pernah meninggalkan cintanya terhadap seorang gadis gara-gara gadis itu ada menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. As-Syahid kemudiannya menumpukan cintanya pada perjuangan Islam. Beliau akhirnya syahid di tali gantung sebagai hadiah cintanya terhadap janji Ilahi. Aku?

Hubungan kita akhirnya hambar. Lantas sengaja aku gunakan namamu, Aisyah sebagai watak penyeri untuk cerpen Dia Seorang Teman. Aku tidak bermotif menyakitkan hatimu, malah bukan untuk menambah sengsara jiwamu. Niatku sekurang-kurangnya watakmu bersatu dengan cinta Protagonis bernama Syam seperti namaku jua. Itu cara terbaik untukku meminta maaf. Aku kirimkan manuskrip cerpen itu padamu supaya dapat kau membacanya. Itulah motifku yang hakiki.


Selama seminggu selepas aku dihantui suara-suara misteri yang mengakui dirinya sebagai watak-watak cerpen Dia Seorang Teman kuhabiskan untuk mengumpul kekuatan, mencari idea dan menajamkan hujah. Penulisanku tergendala. Beberapa cerpen yang sedang kutulis terbengkalai. Esei ibarat karangan merapu. Malah penghasilan puisi-puisiku hambar dan tidak bernafas lagi. Aku kesesatan dalam belantara dunia penulisan. Dunia yang aku tempah sendiri. Berkenalan dengan penulis-penulis gergasi dan menceduk ilmu daripada mereka sehingga mampu menghasilkan cerpen-cerpen bermutu. Menggulung falsafah dan menaladeni disiplin penulisan yang mapan.

Sentuhan penulisan kreatifku semakin pudar warnanya. Lakaran puisi-puisiku setelah peristiwa itu hanya layak dibakulsampahkan. Kalau dihantar ke meja editor penerbitan hanya untuk menyemakkan cuma. Aku hilang semangat menulis. Rupanya apa yang aku alami disedari beberapa teman karyawan. Sukar aku menjelaskan situasi konflik yang kualami. Mereka pasti tidak memahaminya atau aku bakal ditertawakan nanti.


"Kenapa ni Abang? Termenung jer Su tengok dari tadi." Suraya isteriku mampir menegur. Igauanku serta-merta sirna. Nostalgia sewaktu menjadi Cerpenis alias pengarang kreatif suatu masa dulu hilang. Plot-plot cerpen Dia Seorang Teman yang berlegar di minda hilang tiba-tiba. Aku kini sudah berumah tangga dan keaktifan menulis semakin kurang. Barangkali akibat kesibukan dengan kerjaya sebagai pensyarah di UITM.

"Petang-petang begini memang seronok termenung." Jawabku selamba.
"Ye lah... seronok. Lagi seronok kalau terkenangkan sesuatu yang istimewa." Ujar Suraya sinis memintas sambil perlahan-lahan duduk di kerusi batu sebelahku.
"Istimewa? Tak adalah... Mana ada. Nak kenangkan apa pula?"
"Mana lah Su tahu. Entah-entah...." Aku menoleh ke arah isteriku sambil tersenyum. Kalimah Suraya mati di situ.
"Entah-entah apa?"
"Entah-entah masih teringatkan Si 'dia' kot?"
"Siapa?"
"Sapa tu, Ai... Aisyah kot." Teka isteriku mengingatkan.
"Mana Su tahu ni?"
"Alah... Su dengar abang sebut nama tu tadi seorang-seorang."
"Betul ke?" Soalku menduga. Suraya menangguk.
"Su... dalam jiwa abang kasih dan sayang abang hanya buat isteri abang. Cinta abang hanya untuk Su! Sebab cinta abang hanya tumpah kepada insan yang menyintai abang. Janganlah salah sangka."


"Akhi! Aku ibarat bayanganmu. Kau ciptakan aku sesedap rasa. Ibarat menterjemah kehidupanmu. Keluarga yang memartabatkan ilmu, Justeru ayahmu menghantar kau belajar di Jordan. Itulah yang kau lakarkan dalam Cerpen Dia seorang Teman. Unik dan cantik sekali lakaranmu terhadap watakku yang juga watakmu." Tutur Suara misteri berwatak Syam memotong perbualanku dengan Suraya.

"Jadi? Kenapa mesti kau tak puas hati dengan ciptaanku terhadapmu?"
"Aku tak puas hati kerana kau ciptakan Aisyah seorang yang terjebak lesbianime." Aku tersenyum mendengar tutur itu.
"Salah?" Soalku sambil mengangkat kening.
"Tentunya."
"Ia hanya sekadar cerpen. Kau harus faham. Cerpen adalah cereka yang belum tentu sahih. Namun tidak dinafikan ada cerpen yang bertitik tolak kisah benar. Dia Seorang Teman; bermotif untuk menonjolkan nilai pengorbanan yang tinggi dari seorang lelaki terhadap seorang wanita bernama Aisyah selain nilai-nilai lain. Aku menyeret khalayak pembaca menilai lesbianisme dan homoseksual adalah kepincangan yang wajib dibuang jauh dari dunia umat Islam." Jawabku yakin.

"Aisyah gadis baik. Berpendidikan agama di peringakat menengah. Dibesarkan dalam keluarga yang bertatasusila. Mengapa kau jebakkan dia dalam lesbianisme?"
"Itu bukan hal pelik. Kau lihat sahaja, ada gadis yang terjebak dalam kancah cinta dengan lelaki berlainan agama sanggup menukar agamanya alias murtad. Itukan lebih teruk?"

"Bukankah lebih baik kau temukan cinta antara aku dan Aisyah awal-awal? Barangkali boleh menghalang Aisyah daripada terjebak lesbianisme."
"Hei... cinta sejati cinta yang perlukan pengorbanan, kesetiaan, kejujuran dan..." Aku mengumpul kekuatan berhujah.
"Cinta sejati jarang tiada halangan. Kau lihat sahaja Kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha. Betapa benih cinta di hati Zulaikha tumbuh menyebabkan Yusuf terpenjara. Namun setelah Yusuf dibebaskan dan terpilih menjadi wazir cinta Zulaikha terhadap Yusuf bersatu. Zulaikha ditemui Yusuf di pasar dalam keadaan yang comot menyebut-nyebut nama Yusuf, sedangkan Zulaikha asalnya seorang jelitawan. Itu kisah cinta sejati yang bersatu. Ada juga cinta sejati yang tidak bersatu, terpisah dengan kematian dan sebagainya. Kau masih beruntung. Watakmu kucipta bersatu dengan Aisyah." Jelasku panjang lebar.

"Bukan itu maksudku!"

"Habis maksud kau... aku tidak boleh memisahkan kau dan Aisyah? Kau tidak boleh ke Jordan? Kalian perlu mendaftar di Matrikulasi UIAM bersama-sama. Begitu?" Soalku mendesak. Tiada jawapan terpacul.

"Kau yakin cinta Aisyah padamu? Atau sedalam mana cintamu pada Aisyah? Atau kau nak kepastian ada bibit-bibit cinta Aisyah terhadapku dalam dunia relitinya. Aku baru nak menanam keyakinan. Tapi istana keyakinanku roboh ketika aku dikhabarkan Aisyah menjalin persahabatan dengan lelaki lain. Cemburuku begitu. Akukah yang bersalah tidak mampu menerima cinta Aisyah?"

Soalan terakhirku melenyapkan suara-suara misteri yang menggangguku. Aku lega setelah itu.

Dalam Cerpen Dia Seorang Teman aku menemukan Aisyah dan Syam. Itu cuma watak-watak yang barangkali tidak terjadi antara Syamsul Bukhari dan Aisyah sebenar dalam dunia realiti. Cukuplah sekadar aku menggunungkan falsafah pengorbanan seorang lelaki terhadap seorang temannya dalam cerpen. Dalam dunia nyata hidup bukan ibarat plot-plot cerpen yang bebas dilakarkan. Pengorbananku barangkali sesuai untuk insan lain. Aku menilai cinta sejatiku untuk insan bergelar isteri.

Kali terakhir aku membaca kalimah-kalimah Aisyah sewaktu masih berada di Jordan. Aisyah melafazkan dia sukar melupakan insan bernama Syamsul Bukhari. Sayang. Semuanya sudah terlewat. Aku diikat pertunangan dengan Suraya, gadis pilihan keluarga yang kukenali semenjak kecil lagi. Cinta Suraya terhadapku cinta sejati. Mungkin cinta itu berputik sewaktu ayahnya pernah bergurau untuk berbesan dengan ayahku semasa kami masih kecil.

Sewaktu aku berhempas pulas menamatkan pengajian di Jordan Suraya menamatkan pengajian dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Cinta kami bertaut kembali di tanahair dan diikat dengan perkahwinan. Sepertimana aku pernah ciptakan untuk Syam dan Aisyah dalam Dia Seorang Teman.

Semalam aku terima emel dari Aisyah. Dia menjemputku ke majlis perkahwinannya dengan seorang jejaka yang mengembalikan cintanya bernama Hisyam. Masih bernama Syam. Tahniah buatmu Aisyah.

"Abang khayal lagi?"
"Tak... abang tengah fikirkan sesuatu."
"Pasal apa?"
"Anak abang macam mana?" Soalku menukar topik sambil tanganku menjamah perut isteri tercinta seraya mengurut-ngurut cermat. Suraya tersenyum mesra. Perut isteriku semakin membesar hamil anak sulung hasil perkahwinanku dengannya sejak hampir setahun yang lalu.
"Anak abang jer?" Pintas Suraya bernada rajuk.
"Anak abang kan anak Su juga!" Wajah keruh Suraya kembali ayu.
"Bang... apa kita nak namakan anak kita ni?" Soal Suraya manja.
"Kalau perempuan kita namakan Humaira. Mesti comel macam ibunya."
"Emmm... sedap nama tu. Kalau lelaki?
"Kalau lelaki kita namakan Muhammad Al-Amin. Amacam?"

Bukankah Aisyah Ummul Mukminin isteri Nabi Muhammad SAW dipanggil Humaira?

---------



Nukilan,

Akhi Masrawi
Mei 2002


© AKHI MASRAWI


Nota: Jika anda belum membaca cerpen Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah) atau judul yang telah aku tukar:      (Masihkah Ada Sinar), sila baca cerpen itu terlebih dahulu. Watak dalam cerpen ini sekadar suatu kebetulan.

Catatan: Cerpen ini pernah aku tulis di sembang2 Melayu.com sebagai penulisan santai. Ini adalah versi asal tanpa edit. Banyak kelemahan aku rasa. Tajuk asal cerpen ini (Akhi Oh Akhi!) Tapi aku sudah tukar kepada: Kerikil Cinta Humaira.





Kembali ke JURNAL                                                    sila klik Respon/Komen
© Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: mypujangga@yahoo.com (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~

KARYA-KARYA Akhi Masrawi

Lagenda Gadis Kedai Bunga | Warkah Buat Puteriku | Air Mata Karbala Menitis Di Kota Kaherah | Masihkah Ada Sinar | Kerikil Cinta Humaira | Tahanan | Hingga Titisan Terakhir | Di Dalam Dewan Besar | Cinta Sufiah | Warkah Terakhir Dari Ramallah

Sebuah Karya Akhi Masrawi

Tahanan



SAYA celik perlahan-lahan. Terjaga dari lena. Mata saya dipanah cahaya sehingga terasa kepedihan. Cahaya dari lampu kalimantang yang tidak seterang mana. Lampu itu berbalut plastik nipis berwarna unggu sehingga cahaya asal kalimantang yang berwarna putih bertukar unggu juga. Saya ingin menenyeh mata namun hasrat itu berkubur. Tangan saya diikat pada kerusi kayu. Saya rupanya terkurung dalam bilik kecil kosong yang sarat dengan tanda tanya.

Saya berusaha lagi untuk melepaskan diri. Saya rimas dan lemas berkeadaan begitu. Sendi-sendi saya sudah sengal metah. Dahaga melilit tekak dan lapar terasa meronta-ronta. Saya tidak ingat bagaimana saya boleh diikat di bilik seluas kamar bujang itu.

Asyik saya masih berusaha untuk melepaskan diri saya terdengar suara-suara garau berbual-bual di sebalik pintu kayu yang sudah nampak agak usang. 'Arab?'. Getus saya sendiri. Impian saya untuk lepas kembali kaku.

Dua orang lelaki berbangsa Arab masuk ke dalam ruang empat persegi bilik itu. Saya cuma membatukan diri memerhatikan mereka. Seorang berwajah cerah agak berumur manakala seorang lagi berkulit gelap, bengis dan sasa; agak menggerunkan.

Mereka mampir ke arah saya. Sepatutnya saya menggeletar tetapi ada kekuatan yang menyelinap ke dalam tubuh sehingga saya terasa biasa meskipun itu kali pertama saya bersituasi sedemikian. Saya masih mampu mengawal diri.

"Selamat pagi." Tutur si lelaki berwajah cerah di dalam bahasa Arab 'ammiah Mesir sambil tersenyum.
"Sss............." Saya cuba untuk menjawab ucapan itu, tapi suara tersekat di kerongkong. Tekak saya kekeringan. Risau menerpa. Saya tahu dari tutur lelaki itu hari masih pagi. Akal saya ligat berfikir di mana saya semalam sehingga pagi ini saya terkurung di situ. Saya dihulur segelas air sedang tangan terikat.

"Hamada! buka ikatan tangannya." Arah si lelaki berwajah cerah kepada rakannya si lelaki gelap. Dari itu saya tahu lelaki gelap itu bernama Hamada. Tangan saya dilepaskan seraya air yang dihulurkan saya capai dan teguk. Tekak kembali basah. Segar terasa.

"Mahu lagi wahai Muhammad Kamal?" Dia bertanya. Saya terkejut lagi. Bagaimana dia mengetahui nama saya. Saya menggeleng. Si lelaki gelap hanya membatu. Saya merapa-raba saku seluar. Kosong. Dokumen peribadi dan duit-duit saya pasti tiada.

"Kernih dan barang-barang anda ada pada saya." Ujar si lelaki itu lantas menghambat kerisauan yang bertapak di benak.

'Di mana saya'. Itu soalan yang sepatutnya saya tanya kepada mereka tetapi hanya terdetik dalam sanubari. Akal ligat berfikir lagi. Pagi semalam saya hadir ke kuliah seperti biasa. Mengikuti muhadharah Doktor Abu Salim. Hanya itu yang saya ingat. Episod aktiviti saya semalam terhenti di situ cuma. Saya kira saya masih waras dan ingatan saya masih kuat dan sempurna. Cuma saya tidak mampu mengingatinya elok-elok barangkali kerana akal saya terlalu keletihan.

"Anda kenal Hassan Al-Banna?" Arab berwajah cerah memulakan persoalan. saya cuma mengangguk.
"Dari mana anda kenal dia?"
"Saya membaca mengenainya dari buku." Saya menjawab ikhlas fasih di dalam Bahasa Arab 'ammiah Mesir. Cara perbualan masyarakat Arab Mesir yang jarang menggunakan bahasa Arab Fushah tidak merisaukan saya kerana saya mampu menguasai bahasa basahan mereka dengan baik. Melihat sekitar saya hanya mampu menduga, saya sedang dalam tahanan. Biasanya persoalan berbau gerakan Ikhwan Muslimin akan ditanyakan oleh mabahis-mabahis Mesir terhadap tahanan mereka. Soalan menjerat mangsa.

Menjadi tahanan di Mesir amat akrab dengan bayangan penjara bawah tanah dan penyeksaan yang dahsyat. Semua itu disediakan sebagai hadiah terhadap perjuangan anggota Ikhwan Muslimin dan serpihan selebihnya kepada penjenayah.

"Anda suka dengan dia?"
"Saya tidak kenal sangat. Lagipun saya tidak pernah berjumpa dengan dia." Jawapan yang agak berseloroh untuk memancing simpati agar bertukar ke topik lain.

"Perjuangan Hassan Al-Banna sesat." Dia membuat provokasi untuk melihat reaksi saya. Sepatutnya saya melenting mendengar ungkapan sebegitu rupa. Mana mungkin seorang pejuang malah reformis seperti Hassan Al-Banna dituduh sesat. Jasanya terlalu besar. Dia yang mengembalikan kesatuan umat Islam setelah kejatuhan kerajaan Islam Turki Uthmaniah gara-gara kebodohan Mustafa Kamal Atartuk. Dialah yang mengasaskan sebuah jamaah bernama Ikhwan Muslimin di Mesir. Itulah jamaah pertama Islam selepas Khilafah Turki Uthmaniah sirna.

"Apa anda bersetuju?" Soalan untuk mengheret saya. Setidak-tidaknya saya perlu berfikir tentang jawapan yang memungkinkan untuk saya dilepaskan dari tahanan itu. Atau sekurang-kurangnya saya tidak diapa-apakan kalaupun saya memprotes.

"Saya tidak kenal sangat perjuangan Hassan Al-Banna. Mungkin anda boleh menceritakan serba sedikit...Itupun jika anda bersedia." Saya mengumpan. Lelaki itu tersenyum sinis.

"Masakan anda tidak kenal perjuangan Hassan Al-Banna. Kalau anda tidak kenal perjuangan Al-Banna, bagaimana anda boleh ikut serta dalam muzaharat petang semalam? Sambil melaung-laungkan kesatuan dan pembebasan terhadap Palestin serta menggesa kerajaan Mesir itu dan ini."

Saya mengukir senyum. Gembira dan risau berselingkit. Kini saya tahu muzaharat semalam menatijahkan saya ditahan. Saya tidak tahu selama mana saya bakal ditahan. Ingatan pada kuliah dan imtihan yang hanya sebulan lagi akan menjelma untuk menyudahkan pengajian ijazah sarjana muda, keluarga di tanahair, sahabat handai, tunang, kawan serumah kembali menghantui. Apakah mereka tahu saya ditahan?. Kalaulah mereka tahu sudah tentu mereka akan kerisauan. Mungkin juga ada yang menganggap saya ada melakukan kesalahan. Paling tidak tunang saya pasti menangis.

"Ustazah bersedia terima ana? Ana nak jadi pejuang sejati. Pejuang yang tak takut mati. Mati seorang pejuang sebagai seorang syuhada'. Ana perlukan seorang serikandi yang cekal dan tabah untuk hadapi hidup. Kalaupun suatu hari nanti andai kita dipisahkan." Itulah kata-kata saya sewaktu liqa' terakhir baitul muslim minggu lepas. Rupanya saya teruji dengan kata-kata sendiri.

"Anda orang asing. Sepatutnya tidak ikut serta dalam aktiviti hamasah seperti itu." Lelaki gelap bernama Hamada mula bersuara mengejutkan saya dari lamunan. Kemudian membatukan diri.

"Saya tidak ikut serta!" Saya menafikan dakwaan itu.

Semalam seusai muhadharah di kuliah Al-Azhar saya ke masjid Hussin untuk solat Zuhur bersama beberapa orang rakan. Selepas solat saya perlu pulang ke Haiyu Sabiek kerana selepas asar saya harus menghadiri mesyuarat Ad-Hoc perlaksanaan program "Lambaian Al-Quds". Namun melihat gerombolan mahasiswa dengan sepanduk laungan anti Israel saya terpanggil untuk berarak bersama mereka di sepanjang Syarie Al-Azhar di Bandar Hussin. Saya sendiri tidak pasti mengapa. Hamasah saya tiba-tiba muncul. Natijahnya saya ditahan di sini.

Umat Islam di serata dunia membuat tunjuk perasaan tidak puas hati atas kekejaman Israel terhadap Palestin. Umat Islam di Palestin disembelih setiap hari. Tidak kira lelaki, wanita, dewasa, remaja malah kanak-kanak dan orang tua turut menjadi korban keganasan Israel. Di Syria contohnya dengan melaung-laungkan slogan "Pertahankan bumi Palestin yang dirampas" bukan sahaja orang awam berarak dalam tunjuk perasaan itu malah Timbalan Presidennya Addul Halim Khaddam, Perdana Menteri Abdul Qader Qadurah dan Speaker Dewan Parlimen Mohammad Mustafa Miru, termasuk wakil pemimpin Gerakan Islam HAMAS di Syria Khalid Masyal dan Setiausaha Agung PLO Ahmad Jibril. Ini bukti kebencian tindakan Israel itu di datar bumi Syria. Belum lagi menyaksikan di tempat-tempat lain.

Di Mesir muzaharat dilakukan kebanyakan oleh golongan mahasiswa. Namun ada juga yang melibatkan masyarakat awam yang terdiri dari golongan yang sedar dan prihatin terhadap isu Palestin. Boleh diandaikan kesedaran itu muncul kerana peranan yang dimainkan oleh kelompok mahasiswa. Betapa besarnya peranan mahasiswa yang bakal menjadi teraju kepimpinan umat suatu masa nanti.

"Palestin tanggungjawab kita semua selaku umat Islam." Saya bersuara melepas apa yang terbuku di minda. Kenyataan yang memungkinkan saya disepak, ditendang, diterajang, ditampar, dipukul atau dicederakan. Setidak-tidaknya usia penahanan terhadap saya akan lebih panjang. Namun saya bersedia untuk itu. 'Kalaulah Hassan Al-Banna, Syed Qutub, Said Hawwa, Al-Mawdudi dan ramai lagi pejuang-pejuang terdahulu menghadapi pelbagai penderitaan, apakah saya tidak mampu? Saya ingin menjadi pejuang kental seperti mereka.' Saya bermonolog.

"Barangkali tanggungjawab kita." Jawab lelaki berwajah cerah selamba seraya raut wajahnya berubah. Saya melihat ada bibit-bibit kemenangan dalam jawapan saya tadi.

"Tapi buat masa ini bukan tanggungjawab anda!" Saya diterjah kekeliruan.
"Bukan tanggung jawab saya?" Saya pula menyoal. Suasa tegang. Sesi soal jawab semakin panas seperti panasnya suhu bilik dalam lingkaran udara awal musim panas di Mesir.

"Anda seorang mahasiswa. Tugas anda belajar. Anda tidak sewajarnya memikirkan persoalan yang melibatkan politik dan bersifat global. Apa lagi politik antarabangsa seperti isu Palestin sehingga terlibat muzaharat." Jawabnya dengan nada meninggi.

Saya kira pemikiran lelaki itu tidak ubah seperti AUKU yang dikenakan terhadap golongan mahasiswa di bumi Malaysia. Mahasiswa tidak dibenarkan bersuara lantang. Kebebasan bersuara disekat. Tetapi spesifikasinya hanya apabila menyokong politik ala-pembangkang, tidak pula politik berjiwa kerajaan yang menyeret fahaman sekularisme dalam pentadbiran mereka. Bacaan yang berat sebelah. Justeru di tanahair sudah ramai mahasiswa yang ditahan di bawah ISA dan ada yang diseret ke lokap. Alasannya mereka terlalu lantang bersuara dan membakar api kesedaran. Pelik juga apabila sokongan itu mengikut saluran establishment tidak pula kebebasan itu disekat-sekat. Itu lumrah biasa sebagai ujian dan tribulasi seorang pejuang kebenaran. Usah terkejut jika orang yang berada di aliran kebenaran diseret menerima padah. Itulah titik-titik akhir perjuangan seorang pejuang. Mereka menerima janji Allah, samada kemenangan atau syahid.

"Adakah mahasiswa tidak betah berpolitik?" Saya menyoal lagi. Lelaki itu terdiam. Kelu. Tanpa sebarang jawapan.

"Azim!" Lelaki berkulit gelap memanggilnya dan memberi isyarat seraya keluar meninggalkan kami berdua.

"Sepatutnya begitu."
"Anda pernah mengalami alam mahasiswa?" Saya merisik lelaki bernama Azim itu.
"Sudah tentu. Saya masiswa era 70-an."

Mahasiswa era 70-an adalah lapis yang sedang memegang tampuk pentadbiran dalam dekad ini. Malangnya tidak semua yang mendapat tasawur jelas dalam hal berkaitan pemikiran. Ada yang menerima aliran sosialisme, komunisme, sekularisme dan sebagainya.

"Saya kira anda terhasut mengungguli kesilapan." Ungkapan yang tidak sepatutnya saya ungkap terpancul jua dari bibir saya. Saya menanti amarah lelaki itu teruji.

"Kesilapan? Apa maksud anda berkata begitu. Saya tidak nampak fahaman politik saya silap."
"Biasanya begitu. Sesuatu kesilapan yang ada pada diri sendiri biasanya tidak akan dihiraukan sangat. Sebaliknya bertindak menuduh orang lain salah kerana menegurnya silap."

Perbincangan sepi beberapa ketika. Saya masih duduk di kerusi itu.

"Kenapa anda terlibat muzaharat semalam?" Kembali ke topik asal soal jawab.
"Sensitiviti." Saya menjawab sepatah.
"Anda bukan bangsa Palestin. Anda bukan orang Arab. Anda orang Malaysia berdarah Melayu. Apa perlu sensitiviti anda dalam hal seperti ini?"
"Saya seorang mahasiswa yang melihat isu Palestin sebagai tanggungjawab sejagat, bukan hanya tanggungjawab bangsa Arab atau bangsa Palestin semata-mata. Umat Islam seperti sebuah binaan."
Ujar saya berhujah.
"Apa yang anda dan kelompok anda dapat dengan mengikuti muzaharat seumpama itu. Merugikan masa sahaja. Malah mengganggu lalu lintas serta menambah kerja pihak keamanan."
"Sekurang-kurangnya kami telah menyuarakan suara khalayak masyarakat kepada pemerintah. Kami menggesa isu Palestin diambil peduli oleh kerajaan. Sebaliknya apa yang kerajaan sudah buat?" Saya melontarkan persoalan yang bisa menjerat diri sendiri.

"Anda sealiran pemikiran Al-Banna! Saya sudah mengagaknya dari awal lagi." Provokasi lagi untuk menggentarkan saya.

Imam As-Syahid Hassan Al-Banna dibunuh gara-gara komitmennya yang tinggi melaungkan jihad menentang Israel pada 1948. Lantaran itu musuh-musuh Islam gentar dengan peranannya lantas mereka mendesak pemimpin umat Islam yang beraliran seperti mereka untuk membunuh Al-Banna. Konspirasi itu didalangi sendiri oleh Raja Faroq yang memerintah Mesir ketika itu berjaya disempurnakan pada 12 Februari 1949. Betapa kejamnya golongan yang terhasut dengan pemikiran barat memperdayakan pejuang-pejuang Islam.

Negara haram Israel ditubuhkan pada tahun 1948 selepas 24 tahun kejatuhan Khilafah Islamiah Turki Uthmaniah pada tahun 1924. Bagaimanapun barat menyesatkan Umat Islam dengan malabelkan Mustafa Kamal Atartuk - orang yang bertanggungjawab terhadap kehilangan Khilafah Islam Turki Uthmniah - sebagai 'Bapa Permodenan Turki'. Betapa liciknya strategi Yahudi dan Zionis untuk merampas tanah Palestin dari Umat Islam Palestin demi mencapai hasrat mereka itu. Mereka hanya memperdayakan seorang yang bernama Mustafa Kamal Atartuk untuk menaladeni Sekularisme seterusnya membakar bumi Islam Turki.

Sepanjang masa itulah Yahudi menyembelih Umat Islam Palestin setiap hari. Kejadian di Sabra dan Shatila pada tahun awal 80-an yang menyaksikan ramai rakyat Palestin menjadi korban tindakan ganas rejim Yahudi. Namun tidak ada tindakan Mahkamah Dunia terhadap Israel, justeru itu Israel mengulangi kekejamannya pada kali kedua pada April 2002 ini tanpa menghiraukan bantahan badan-badan antarabangsa. Ini bukti keganasan Israel yang patut ditentang. Pelik sekali tindakan itu tidak pula disifatkan sebagai keganasan.

"Barangkali." Saya menjawab bernada getar dalam tegar. Azim tersenyum lagi.
"Anda menurut jejak perjuangan sesat Al-Banna."
"Saya tidak nampak ia sebuah perjuangan sesat."
"Anda belum membacanya habis dari buku." Saya terpukul. Lelaki ini bijak bermain psikologi. Saya hampir tewas.
"Saya akan membacanya nanti untuk menemui apa sebenarnya perjuangan Hassan Al-Banna." Jawab saya bersahaja. Jawapan saya membuatkan lelaki itu ketawa berdekah-dekah.

Yahudi telah lama berjaya merampas bumi Palestin. Sayangnya ideologi Umat Islam masih ada yang tersasar. Masih ada yang mengungguli dasar Liberalisme, Sekularisme, Komunisme, Sosialisme dan sebagainya. Tidak mampu kembali kepada dasar perjuangan Islam sebenar. Justeru Umat Islam tidak mampu membentuk kesatuan yng jitu. Kesatuan yang bakal digeruni musuh-musuh Islam.

Ideologi Kamal Attaturk yang ditunjangi sekularisme itu mendefinisikan permodenan dengan cara yang cukup songsang. Moden pada Attaturk ialah apabila azan dilaungkan dalam bahasa Turki. Moden pada Attaturk ialah apabila Al-Quran dicetak dlm bahasa kebangsaan. Rumah–rumah Allah ditutup kerana dianggap hijab mendalangi permodenan, diganti dengan muzium-muzium yang bisa membawa keuntungan berjuta-juta. Bukan moden namanya jika wanita masih bertudung litup, membatasi pergaulan degan lelaki ajnabi. Tapi lebih moden andai aurat ditayang dan didedahkan sewenangnya malah lebih maju andai air kuning menghiasi pesta-pesta keraian. Itulah ideologi Ataturk, menolak agama dalam urusan dunia demi permodenan yang bertandukkan syaitan. Ideologi yang masih punya pengikut sehingga menyebabkan Barat, Yahudi dan Zionis bersorak riang.

"Bagus..." Lelaki itu menepuk bahu saya.

Daun pintu terkuak. Hamada melangkah masuk bersama seorang lagi lelaki Arab berkot dan bertali leher. Pakaiannya kemas persis seorang pegawai tinggi. Lelaki yang kerap menyoal saya memberikan tabik hormat kepadanya. Saya menduga dia seorang pegawai tinggi di situ.

"Apa khabar? Bagaimana keadaan anda?" Pegawai itu menyoal.
"Alhamdulillah..." Jawab saya.
"Maafkan pihak keamanan kerana terpaksa menahan anda." Pegawai itu memulakan bicara. Saya tekun menanti ucapan seterusnya.

"Kemaafan juga kerana terpaksa mengikat anda di dalam bilik ini. Kami tahu anda tidak bersalah. Walaupun dengan menyertai muzaharat sepatutnya anda ditahan di penjara bawah tanah, tetapi anda orang asing. Kami masih ada tasamuh. Nasihat kami kepada anda supaya lebih berwaspada dan tidak menyertai apa-apa aktiviti yang dikira salah mengikut peruntukan undang-undang Mesir sehingga akan menyebabkan anda ditahan lagi." Dia menyudahkan kalimahnya kemudian beransur pergi. Meninggalkan saya dan dua lelaki Arab tadi.

Saya pengsan dalam sesak manusia bermuzaharat. Pihak keamanan telah membawa saya ke situ. Saya dikurung dalam bilik kecil seluas kamar bujang. Tangan saya diikat, supaya apabila sedar saya tidak memberontak.

Semua barang-barang peribadi saya dikembalikan. Jam tangan saya masih elok menunjukkan pukul 4.15 pagi. Ini bermakna saya disoal pada waktu dinihari. Waktu kebiasaannya tahanan disoal. Waktu untuk bersolat Tahajud dan bermunajat kepada Ilahi. Saya diiring keluar. Sampai di pintu gerbang bangunan keamaanan Mesir saya berjabat tangan dengan Azim dan Hamada yang menyoal saya dalam tahanan sambil mengucap selamat tinggal. Saya bersyukur. Saya dilepaskan dari tahanan sementara itu.

Saya menahan sebuah teksi.

"Haiyu Sabiek." Jelas saya kepada pemandu teksi destinasi yang bakal ditujui.
"Di mana?" Soal pemandu.
"Masjid Nuri."

Pemandu mengangguk seraya memecut teksi laju. Saya menghirup udara segar pagi di Kota Cairo yang mempunyai seribu satu kisah suka duka melalui tingkap teksi yang sedikit ternganga. Sampai di Masjid Nuri yang berkubah hijau itu azan Subuh dilaungkan. Setelah berwuduk dan menunaikan solat Sunat Fajar sambil menanti iqamat... saya memanjatkan ifiniti syukur dalam doa.

Ada aliran jernih yang mengalir dari kelopak mata.



TAMAT


Oleh,

Akhi Masrawi
Lembah Nil
6 Jun 2002

E-mail: alifputera1@yahoo.com


GLOSARI

'ammiah - bahasa pasar/ bahasa tempatan
muhadharah - kelas
kernih - kad pengenalan diri
mabahis - perisik/ anggota keamaanan
muzaharat - tunjuk perasaan
hamasah - semangat
tasamuh - tolak ansur

© AKHI MASRAWI

Kembali ke JURNAL                                                    sila klik Respon/Komen
© Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: mypujangga@yahoo.com (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~

KARYA-KARYA Akhi Masrawi

Lagenda Gadis Kedai Bunga | Warkah Buat Puteriku | Air Mata Karbala Menitis Di Kota Kaherah | Masihkah Ada Sinar | Kerikil Cinta Humaira | Tahanan | Hingga Titisan Terakhir | Di Dalam Dewan Besar itu | Cinta Sufiah | Warkah Terakhir Dari Ramallah

Sebuah Karya Akhi Masrawi


 Cerpen: Hingga Titisan Terakhir


Ianya sesuatu yang menyakitkan. Benar. Aku pernah merasainya suatu masa lalu. Dan perasaan itu menghantuk tirai rasa hingga saat ini. Bermula kala kita dipisahkan oleh sebuah ketentuan. Meski ia tidak betah untuk berulang kembali, namun ingatan itu terpaksa kusematkan di saku ingatan.

Aku tidak pasti apa yang kau rasai saat itu. Melihat manik-manik jernih mengalir dari tubir matamu, jiwaku dihantuk lara. Memori lalu tersingkap satu demi satu. Kala kita melepaskan ikatan yang telah sama-sama kita simpulkan itu kerana aku mesti meneruskan langkah ke medan jihad. Jika kau juga menangggung derita seperti apa yang aku alami; pastinya mimpi kita berulit pada satu titik kisah yang sama. Sehinggalah tika warkah ini kutitipkan benih-benih cinta yang pernah tersemai di hati ini belum mati meski ia tidak pernah sesubur dulu setelah kita berjauhan.

Sayang,

Izinkan aku memanggilmu sebegitu. Rahsia untuk mewujudkan mesra. Ujar temanku yang sudah beristeri. Katanya: "Aku tinggalkan isteriku kerana cintaku kepada syahid melebihi sayangku pada manusia." Aku dihantuk kelelahan kerana tidak sehebat dia. Aku tidak pernah memanggilmu sayang bukan? Maafkan aku. Aku telah cuba dahulu, namun aku buntu. Pendirianku tidak mahu mengajar seorang tunang sepertimu menjadi manja sehingga tidak mampu melepaskan aku ke medan juang sewaktu negara amat memerlukan prajurit demi mempertahankan watan. Ya... negara memerlukan pejuang. Kini, meski aku seorang prajurit yang sering ganas dan keras di medan juang; usah kau lupa aku jua punya secebis perasaan halus untuk saling kasih-mengasihi, sayang-menyayangi malah cinta-mencintai.

Kau tentu lebih ingat daripada aku tentang bagaimana kita menjalin cinta itu sehingga ia sukar dipisahkan. Aku yang kala itu bengap persoalan kasih sayang tergagau mencari cahaya dari lilin cinta yang kau nyalakan. Aku tidak pernah menjalin hubungan kawan dengan perempuan. Pendidikan memisahkan aku. Arwah ibu mahukan aku mengikut jejak para ilmuwan Islam. Aku dihantar ke sekolah aliran agama. Aku dididik dalam biah tanpa percampuran dengan perempuan. Sekolah putera mengajar untuk menjadi lelaki sebenar. Kesannya aku tidak kenal apa itu percintaan sehingga keluarga mengikat kita dengan ikatan pertunangan. Kau mula mengajarku erti kasih, sayang, cinta dan rindu yang tidak pernah mengusik jiwa remajaku sebelumnya.

Sayangku,

Kala aku melakarkan marsum ini mentari terik di luar khemah. Panasnya membahang membakar epidermis kulit yang terdedah pada panahan mentari. Butir-butir pasir bagai menyala-nyala menjadi bara dipanah pancaran cahaya panas. Tekak sering dililit rasa dahaga. Kami sedang beristirehat selepas menunaikan solat khauf. Berkhemah di sebuah kawasan oasis padang pasir di sebuah gurun jauh dari permukiman kedamaian. Tengahari tadi segerombolan tentera musuh pantas kami kalahkan. Kesemuanya jatuh tersembam menyembah bumi. Hanyir darah mereka di pedangku masih bersisa. Barangkali esok-esok pedang ini akan meragut nyawa-nyawa manusia lagi. Tentu kau tahu... tugas prajurit. Kami perlu sentiasa sering berjaga-jaga. Musuh berada di mana-mana.

Pedangku memang tidak mengenal nama-nama mangsa. Tanpa menghitung tua, atau muda dari kalangan lelaki durjana tentera musuh pasti akan aku penggal setiap yang mampir ke arahku. Atau aku yang mara ke arah mereka melancar serangan. Akhirnya episod hayat musuh disudahi kepala mereka tergolek-golek jatuh ke bumi. Nyawa mereka berakhir dan aku terus mara. Tentunya isteri-isteri, anak-anak, ibu-ibu, bapa-bapa mahupun tunang-tunang mereka yang kubunuh sedang menanti penuh harapan kepulangan mereka, seperti kau menanti kepulangan perwiramu ini.

Loya tekakmu kukira tika membaca catatan ini. Aku umpama seorang algojo yang gilakan darah dan batang leher manusia. Tetapi itulah kekuatan yang perlu dimiliki sewaktu pertempuran. Nyawa musuh tertulis di kilauan mata pedangku. Tiada polis yang akan menangkap kerana membunuh sebanyak mana pun. Tiada mahkamah yang bisa mendakwa. Tiada undang-undang yang boleh menyekat. Kami terpaksa bermimpi untuk terus hidup dan menang. Justeru untuk tujuan itu, kami perlu terus membunuh dan membunuh.

Mengimpikan untuk menjadi seorang pembunuh sekali-kali tidak pernah terlintas sewaktu usia kecilku. Kau sendiri kenal siapa aku. Ibuku pernah berpesan: "Abadikan jasadmu dalam lingkaran budi, kelak namamu dikenang orang." Tetapi waktu itu aku tidak tega menterjemah kalimah-kalimah ibu. Aku hanya menjadi pendengar setia pesan ibu sehingga aku kian mengerti. Aku kira jika ibu masih ada dia juga akan redha anaknya memenggal kepala musuh. Atau mungkin membunuh juga adalah dikira budi bila mangsanya adalah musuh kita.

Oasis ini semakin kering semenjak malam semalam kami rakus menghirup airnya walaupun setelah dicatu dan disita. Jika ia kering kami perlu berpindah lagi. Mencari punca air. Persis puak-puak nomad yang sering berpindah-randah. Bekalan air di gurun ini terlalu mencengkam. Oasis kebanyakannya sudah kontang. Datarnya sudah merekah. Inilah ujian berjuang di padang pasir. Punca air merupakan sesuatu yang paling penting untuk terus menyabung nyawa meneruskan perjuangan. Perjuangan untuk terus hidup dan menyimpan selirat tenaga untuk menentang musuh.

Lebih sepurnama aku dan pasukan tempurku mengisi lembah padang pasir ini. Esok perjalanan bakal diteruskan lagi. Menghitung kemaraan sehingga mendengar laungan kemenangan dan arahan untuk berundur pulang. Sekali-kali menyerah untuk kalah tidak pernah tersemat di ingatan sebagai agenda. Watan perlu terus dipertahankan. Kemakmuran perlu terus dikekalkan. Biarlah kami yang menjadi ganti untuk kalian mencicip manis kehidupan.

Sesekali aku terkenang pada ketenangan desa. Pada unggas yang berkicau melagukan kedamaian. Namun apalah itu semua bila berada di sini.

Suasana peperangan tidak mengizinkan aku untuk terkenangkankan pada perkara-perkara lain termasuk dirimu. Aku terpaksa melupakanmu seketika. sesuatu yang berat kulakukan sedetik pada hayat lalu. Namun nyatanya bila tiba ruang lapang ingatanku kembali segar kepada desa, ayah, arwah bonda, keluarga dan jua dirimu, tunangku. Justeru kelapangan hari ini mengheret aku untuk mengungguli kenangan-kenangan lalu. Lantas kuintai peluang untuk kulakarkan secebis warkah buatmu tunangku.

Teringatkan kata-katamu: "Abang, saya nantikan kepulangan abang untuk cinta kita ditautkan pada ikatan yang sah. Berjuanglah wahai mujahidku, usah dihiraukan pada tuntutan perasaan andai sudah tertulis jodoh kita, pasti akan bertaut jua. Atau kita bertemu di syurga sana..."

Betapa tabahnya kau melafazkan kalimah-kalimah itu. Aku terpana. Meskipun kau tidak mendapat ajaran agama sepenuhnya, kau mampu setabah itu melepaskan kepergian seorang mujahid sepertiku.

srikandiku,

Peperangan belum tamat dan penghujung nyawaku belum pasti di mana. Andai tersurat namaku di pedang musuh; di situlah akhirnya kemenanganku sebagai syuhada'. Atau aku kembali dari rantau jihad ini membawa kemenangan bersama pejuang-pejuang lain. Aku mungkin akan dianugerahkan tokoh itu dan ini. Kemudian namaku harum menabur budi. Namun itu hanya angan-angan. Musuh masih menggila.

Seperempat purnama lalu misi kami tergendala. 12 orang tentera dari pasukanku ditawan musuh. Rupanya dalam keghairahan kami memenggal kepala musuh, musuh masih sempat melarikan 12 orang seldaduku. Aku risau metah kalau-kalau tawanan itu bakal membocorkan rahsia ketenteraan. Aku mengatur misi meninjau. Mengintai ke kem musuh dari jarak berjaga-jaga, semua rakan seperjuangan yang menjadi tawanan sudah dipenggal dan dipanggang. Musuh bersuka ria melahap daging rakan seperjuangan. Tekak kami meloya. Kami meninggalkan kem musuh kembali ke kem kami dan kemudian melancarkan serangan nekad. Dalam keadaan musuh yang leka melahap batang tubuh manusia panggang kami menyerang bertubi-tubi. Akhirnya kami menang.

Betapa pentingnya kerahsiaan dijaga. Andai berlaku kebocoran rahsia pastinya kami akan menempuh parah yang getir. Lihat saja bagaimana Rasulullah SAW cukup menitik beratkan aspek kerahsiaan ini semasa peristiwa Fathu Makkah yang tersemat di lembaran sirah untuk memungkinkan kemenangan berpihak kepada Islam dan Makkah ditawan dalam keadaan aman tanpa peperangan. Ini berpunca apabila seorang sahabat Baginda bernama Hatib bin Abi Balta'ah yang risaukan keselamatan kaum keluarganya yang berada di Makkah lantas mengirimkan utusan kepada seorang temannya membongkar rahsia bahawa Rasulullah dan umat Islam akan menyerang Makkah. Namun akhirnya perbuatan cela Hatib itu tersingkap ke pengetahuan Rasulullah SAW seraya Baginda menggesa beberapa orang sahabat untuk menyekat utusan Hatib itu sebelum tiba berita itu ke tangan musyrikin Makkah.

Saidina Umar Al-Khattab ra amat marah akan kelakuan Hatib lantas mencabut pedangnya untuk memenggal kepala Hatib. Namun Rasulullah SAW melarang kerana Hatib adalah ahli Badar. Andaikan jika utusan Hatib itu sampai ke pengetahuan musuh, tentunya musyrikin Makkah akan lebih bersedia menghadapi umat Islam dalam peristiwa Fathu Makkah itu. Tentunya ramai yang akan terkorban. Pertumpahan darah akan lebih teruk.

Sayangku,

Kami hanya sebuah pasukan kecil dari pasukan-pasukan lain yang berkawal di padang pasir ini. Dengan berjumlah 100 orang prajurit awalnya kini hanya berbaki 70 orang termasuk aku. Selebihnya telah menemui 'kemenangan'. Jasad mereka yang syahid kami tanamkan dalam sebuah liang besar secara jamaah. Manakala bangkai-bangkai musuh bergelimpangan kami biarkan mereput di daerah pertempuran dibakar terik mentari dan menjadi habuan makanan binatang-binatang. Rupanya bau mayat musuh dari kalangan kafir terlalu tengit. Setiap kali usai menanam teman-teman yang syahid di medan tempur, kami terpaksa menapak jauh mara ke hadapan. Ini untuk mengelakkan dari terpaksa menghidu bau busuk bangkai manusia kalangan musuh yang bergelimpangan. Kalaulah bangkai-bangkai itu tidak mereput dan membusuk pastinya berguna untuk dijadikan tembok yang besar.

Di medan peperangan kepatuhan kepada arahan ketua amat muhim. Kau tentu masih ingat kisah peperangan di Medan Uhud yang pernah kucerikatan. Betapa intisari sirah itu mengimbau hazar yang jitu serta kepatuhan yang ampuh. Harta bukanlah matlamat perjuangan, meski ramai yang menginginkannya. Tentera mana yang tidak terliur pada ghanimah? Kerana menginginkan hartalah perwira-perwira di Medan Uhud tersungkur syahid menyembah bumi. Aku harap tragedi itu tidak berulang kepada barisan tentera yang aku pimpin ini.

Setakat ini arahanku selaku panglima yang memimpin pasukan ini masih didengari dan dipatuhi. Bukan senang untuk menjadi seorang panglima. Bermula sebagai seladadu biasa sehinggalah memanjat pangkat demi pangkat. Akhirnya aku ternobat sebagai panglima. Tetapi pangkat bukanlah segalanya. Aku risau juga kalau-kalau ada di kalangan orang bawahanku yang bakal belot. Jelasnya musuh bukan hanya di kalangan orang kafir. Musuh juga kadang kala berselimut di kalangan kawan, umpama gunting dalam lipatan.

Paling penting untuk menang adalah kesatuan. Kesatuan akan memutik kekuatan. Kekuatan itu akan melahirkan semangat juang. Semangat itu akan memunculkan keberanian. Tanpa keberanian dan ketaqwaan jihad bukanlah apa-apa. Ironisnya kekuatan terbina dari kesatuan. Jika bekal ini tersemat di minda para pejuang-pejuangku pastinya walau bertembung dengan pasukan musuh yang ramai bilangannya kami tidak tersepit dengan kekuatan mereka kerana kekuatan kami terbina dari kesatuan dan ketaqwaan. Tetapi andai tidak tersemat, gugurlah kami.

Semalam kawanku yang sanggup meninggalkan isterinya demi cinta syahid telah gugur mendapat impiannya itu. Rupanya karamah pejuang yang ikhlas mencari syahid tersingkap sudah. Manyatnya berbau harum semerbak kasturi. Dia kukira mendapat syahid sebenar kerana nekad dalam selirat keikhlasan berjuang mempertahankan kalimatullah. Aku juga ingin menjadi sepertinya.

Mentari semakin melabuhkan tirai siang. Episod malam akan bertukar ganti. Kami akan bertemankan kegelapan dan kesejukan. Panas yang tadinya membakar epidermis kulit mula bersembunyi kemudian menghantar bayu yang bakal menggigitnya pula bersama kesejukan menggila. Beginilah resam siri-siri perjuangan di padang pasir ini.

Kau tentu akan mengharapkan peperangan ini akan segera berakhir dan kita akan cepat bersatu. Aku juga berharap begitu. Tetapi semenjak menghidu bau harum yang menusuk deria hidung semalam dari jasad teman seperjuanganku yang gugur syahid, aku seolah dihambat keresahan. Keresahan untuk mengikut jejaknya.

Selama ini aku yakin pada diri sendiri. Aku tak mungkin gugur tumpas di pedang musuh kerana ketangkasanku memenggal kepala mereka lebih pantas berbanding tindakan mereka. Itulah kelebihan yang aku miliki. Sehingga tenteraku menggelarkan aku 'Khalid Al-Walid'. Aku suka dan kagum dengan gelaran itu. Ia satu anugerah dan kelebihan yang aku ada. Tetapi jangan terlupa kadang-kadang kelebihan yang kita miliki adalah kekurangan pada penilaian orang lain. Tentu kau tahu di mana medan syahid Khalid Al-Walid itu!

Bisikan temanku di pagi hari sebelum dia gugur syahid itu masih tergiang-ngiang. Katanya: " Hari ini aku bakal menemui sesuatu yang telah lama aku idamkan." Aku hanya faham maksudnya, setelah dia benar-benar gugur.

Janganlah kau menangis sekiranya nanti mendengar khabar buruk dari medan perjuangan ini. Anggaplah ia sebuah berita paling menggembirakan. Aku sudahi marsum ini dengan mengirimkan salam rindu buatmu, tunangku.

Aku akan meneruskan perjuangan di sini hingga titisan terakhir; samada titisan itu adalah keringat atau darah yang mewangi semerbak kasturi.


Oleh,

Akhi Masrawi
3 September 2002
Tanta, Egypt.

© AKHI MASRAWI

Kembali ke JURNAL                                                    sila klik Respon/Komen
© Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: mypujangga@yahoo.com (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~

KARYA-KARYA Akhi Masrawi

Lagenda Gadis Kedai Bunga | Warkah Buat Puteriku | Air Mata Karbala Menitis Di Kota Kaherah | Masihkah Ada Sinar | Kerikil Cinta Humaira | Tahanan | Hingga Titisan Terakhir | Di Dalam Dewan Besar itu | Cinta Sufiah | Warkah Terakhir Dari Ramallah

Sebuah Karya Akhi Masrawi

Di Dalam Dewan Besar itu
(Sempena Majlis Konvokesyen Graduan Al-Azhar)



"Kak Long tak panas ke pakai berlapis-lapis ni. Dewan ni pendingin hawa dia bukan kuat sangat pun!" Soal Ema kepadaku selepas kami mengambil kedudukan di dalam dewan besar itu. Pakaian Ema tidak seperti pakaianku tebal dan litup. Aku cuma membalas tuturan Ema, adikku itu dengan bahasa senyuman. Walid dan umi juga tersenyum melihat telatah mesra kami berdua.

Mereka baru tiba beberapa hari lepas dari tanahair sempena untuk mengikuti majlis konvokesyen aku di Ardul Anbiyak ini. Peluang untuk walid mengimbau kenangan silamnya. Hari ini aku cukup bahagia. Infiniti syukur kupanjatkan ke hadrat Ilahi tidak terhitung. Tiada sendu yang terzahir kecuali untuk membisikkan rasa gembira dan suka.

"Kakak kau jayyid jiddan Ema! Kau macam mana? Hah! Tahun depan dah nak grad dah tu." Ujar umi menyoal Ema yang leka memerhati jubah graduan yang kukenakan. Sesekali terasa rimas juga dengan kelakuan Ema. Tapi biarlah. Hari ini, hari gembira. Tak molek aku mencemarkan kegembiraan itu dengan teguran yang bakal mengundang rajuk apa lagi untuk mengguris hati sesiapa.

"Alah Umi ni... Kakak kan bijak orangnya. Ema ni lain...." Jawab Ema acuh tak acuh sambil tersenyum meleret menjeling aku. Lagaknya keanak-anakan.
"Ema bukan tak bijak. Ema pun bijak macam Kak Long juga, cuma malas Ema tu lebih rajin dari rajin sebenarnya." Sambuk walid yang semenjak tadi membisu menyebabkan Ema menarik muka masam.

Kak Long adalah panggilan mesra keluarga kepadaku. Walid yang menggelarkannya. Aku masih ingat sewaktu kecil Ema cuma memanggilku dengan panggilan nama. Kata walid itu tak wajar malah sukar mengundang rasa hormat dan mengikat kemesraan. Sejak itu semua adik-adik memanggilku Kak Long.

"Ramai ke kawan Kak Long yang dapat jayyid jiddan?" Soal Ema menukar topik.
"Tak ramai..."
"Tipulah. Pelajar Al-Azhar kan ramai. 5000 lebih Kak Long cakap. Tengoklah dewan ni pun dah penuh. Ramai sungguh graduan tahun ni." Aku cuma menggeleng mendengar ulasan Ema. Ema memang suka membuat keputusan sendiri. Jawapan orang lain sukar dihitungnya sebagai betul.

Ema adikku yang cuma berbeza setahun itu sedang menuntut di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai dalam bidang kejuruteraan. Minatnya di dalam bidang kejuruteraan memaksa walid dan umi akur untuk dia berubah angin ke bidang itu. Selepas PMR Ema menjejakkan kaki ke sekolah Teknik di Alor Setar. Sebelumnya kami sama-sama bersekolah di Sekolah Menengah Agama Alawiyah Perempuan di Kangar, Perlis. Aku meneruskan perjuangan belajar di situ menghadapi SPM dan kemudian mengambil Sijil Tinggi Agama di di Kolej Islam sultan Alam Shah (KISAS) sebagai tiket datang ke Mesir.

Kerana beralih ke sekolah Teknik Ema terhanyut dengan arus perubahan. Berlainan semasa di sekolah agama kami terdidik dengan biah solehah. Di sekolah teknik percampuran dalam pergaulan antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan bukanlah perkara gharib. Ema terikut menaladeni cara itu. Mujurlah asas agama yang ditempa sebelumnya masih membantu hidup gadis itu.

"Kenapa tak ramai Kak Long?" Ema kembali melontar persoalan. Bagaimana harus aku jawab? Aku terdiam beberapa ketika mencari jawapan yang sebaiknya.

"Sebab susahlah Ema." Sampuk walid sambil berlalu meninggalkan kami tiga beranak. Walid ke hadapan di mana sudut untuk kaum Adam seraya mengambil tempat. Aku kemudian tersenyum. Walid tentu lebih tahu biah kehidupan sini. Dia pernah belajar di Al-Azhar semasa era 70-an dulu. Tentunya Al-Azhar dahulu dengan Al-Azhar kini tidak jauh bezanya fikirku.

"Belajar kat mana-mana pun susah..." Ema memprotes.

"Apa perancangan Kak Long lepas ni?" Soal Ema lagi lagak persis seorang wartawan. Aku diam tanpa sebarang jawapan kepada persoalan itu.

"Alfu Mabruk lah Suhana di atas kejayaan kau. Aku jugalah yang masih terkial-kial di sini." Kata-kata Alisa teman serumahku petang semalam sewaktu aku mencuba-cuba jubah graduan yang baru diambil di markaz Hewi PMRAM masih terngiang-ngiang. Aku segera merapati Alisa dan mendakapnya kemas. Ukhwah kami selama hampir empat tahun bersama kembali mekar di pertautan dua tubuh. Aku meleraikan pelukan dan mata kami bertentangan. Ada aliran jernih yang mengalir di mata temanku itu.

"Bersabarlah Lis." Hanya itu yang termampu aku lafazkan. Kami kemudian berpeluk semula.

Alisa terpaksa i'adah empat madah untuk sesi depan. Impiannya untuk bergelar graduan bersamaku tidak kesampaian. Meskipun kami pernah berjanji; dan janji itu terlerai begitu sahaja. Tiada siapa yang mahu mengungkitkannya kembali.

Setahun lalu sewaktu melihat natijah peperiksaan tahun tiga di bangunan Fakulti Dirasat Islamiah al-Azhar kami berpelukan gembira. Natijah kami setanding. Jayyid. Ucapan mabruk saling bertukar ganti.

Dewan besar ini semakin lama sejuknya semakin menggigit-gigit. Paling tidak mungkin sejuk itu hadir kerana demam kegembiraan aku untuk bergelar graduan. Untuk naik ke atas pentas. Untuk terima anugerah dan segulung ijazah. Berbeza Ema yang asyik rimas dengan kedudukannya. Kepanasan agaknya dengan suhu di dalam dewan itu. Meski pakaiannya tidak setebal pakaianku, Ema masih mengipas-ngipas.

Saat sebegini seribu kenangan lalu bisa terungkap satu persatu mengisi kebeningan pandangan. Di sudut depan terisi sekumpulan graduan ikhwah. Aku memerhati sekilas. Mencari seseorang. Namun kelibatnya tidak kelihatan. Mengapa saat seperti itu aku seolah-olah dihantuk rasa rindu. Ingin rasanya kalau kebahagian lalu kembali mengisi ruang yang ada kala itu. Sayangnya ia hanya imbauan yang tidak kembali berulang.

"Mengapa ustaz? Mengapa perpisahan yang dipilih? Bukankah tahun ini tahun untuk kita sama-sama bergelar graduan. Bersabarlah untuk sementara. Hanya setahun cuma. Lepas itu tiada lagi halangan keluarga." Aku meyakinkan dia sewaktu liqa' terakhir bait muslim hampir setahun yang lalu.

"Maafkan saya ustazah!" Hanya itu yang dituturkan. Di wajahnya terpancar kesugulan. Andai keputusan itu selepas istkharahnya mungkin itu yang terbaik.

Akhirnyanya ikatan yang dibina melalui bait muslim itu terlerai jua. Dia mahukan kesegeraan untuk mendirikan rumah tangga. Keluarganya mendesak. Tetapi aku tidak mampu memenuhi tuntutan itu. Cinta yang tersemai itu akhirnya pudar sepudarnya. Aku pasrah. Mungkin itu takdir Ilahi buatku. Ujian yang terpaksa aku tempuhi. Sehingga mencetus selirat rasa benci terhadap golongan ikhwah. Namun kebencian itu hilang lewat doa yang sering kupanjatkan buat Rabbul 'Izzati.

"Ya Allah ya Tuhanku! Andai dia bukan jodohku tabahkanlah hati ini. Lepaskanlah ingatanku terhadap dia. Ya Allah ya Tuhanku, andai dialah jodoh yang kau tentukan buatku... Kembalikanlah dia ke pangkuanku..."

Aku mengesat air mata yang mengalir di pipi. Mujur Ema dan umi tidak perasan.

Abu dan Ummi Zahra' yang menguruskan liqa bait muslim antara aku dengan dia hari itu pun tersentak. Mereka tidak pernah menyangka kami mengakiri liqa' itu dengan perpisahan. Sepatutnya perhubungan itu ditautkan dengan ikatan yang sah. Tetapi lain pula keadaannya antara kami berdua. Aku tidak pernah menduga seberat itu dugaan Allah terhadapku.

Kepulanganku ke rumah bertemankan air mata. Fikiranku berselingkit mencari di mana kesilapan. Apakah kerana aku meminta pernikahan kami ditangguhkan sehingga bergelar graduan menjadi batu penghalang? Atau keluarganya yang terlalu mendesak? Mindaku berserabut. Seminggu aku membawa diri ke Mansurah atas alasan ziarah teman-teman di sana. Mencari ketenangan di wadi Nil.

Ah, begitulah Mesir. Laman tarbiyah kehidupan penuh dengan pancaroba. Apa yang berlaku hari ini mungkin berubah pada esok hari. Negara yang sarat dengan kesibukan dan kekalutan, tidak menjanjikan ketenangan buat warga perantau. Kata Ayah Mesir zamannya tidak jauh beza dengan Mesir hari ini. Kalau dulu ayah mengejar bas untuk naik dan melompat terjun untuk turun samalah senario itu hari ini. Cuma dari segi pembangunan mungkin ada kemajuan.

Republik Arab Mesir menukilkan sejarahnya sebermula apabila berlakunya revolusi di bawah pimpinan Gamal Abdul Nasser menumbangkan institusi beraja kuku besi. 23 Julai 1952 Mesir menjadi sebuah republik. Presiden selepas kematiannya pada awal 70-an itu digantikan oleh Anwar Sadat. Pemimpin bengap yang menandatangani Perjanjian Camp David tersebut akhirnya tertulis ajalnya di tangan Khaled Islamboli, pengiringnya - harga yang harus dibayar di atas perjanjian tercela itu. Kini Mohamad Husni Mubarak mengambil tempat. Namun, Al-Azhar kekal unggul sebagai institusi ilmu Islam terunggul sejak satu mileneum.

Saban tahun menerima kehadiran para pelajar baru dari seluruh ceruk rantau dan saban tahun itu jugalah mengeluarkan ulamak-ulamak muda. 'Al-Azhar mesin cetak para ulamak dan cendiakawan Islam'.

Walid pernah menyuarakan hasratnya untuk melihat aku menyambung pengajian sarjana lanjutan. Apalah kekuatan yang aku miliki agaknya? Selain seorang perempuan yang diciptakan bertemankan air mata, aku cuma seorang muslimah yang tetap dambakan perasaan halus untuk dicintai kaum Adam. Aku harapkan seorang mujahid untuk menjadi sayap kananku dan membimbingku sebagai seorang isteri.

Kata walid setibanya di Mesir beberapa hari lepas aku ada harapan cerah. Keputusan cemerlang yang aku rangkul semasa B.A adalah batu loncatan mengulanginya di peringkat sarjana lanjutan (master). Aku akur. Walid bercerita panjang hari itu bagai membakar-bakar semangat aku untuk melanjutkan pangajian. Tapi... walid tidak tahu aku menyimpan rahsia pedih. Bumi Mesir meninggalkan kenangan paling pedih. Sengsaranya terasa sehingga kini.

Mujur umi tidak sependapat dengan walid. Umi mahu aku pulang ke Malaysia. Kata umi sudah empat tahun aku mewakafkan diri kepada pengajian di Bumi Mesir ini tanpa sekali pun pulang bercuti. Jadi umi berhajat sangat aku pulang bersamanya.

"Pak Long kau ada bertanyakan tentang kau Su."
"Pak Long... Mat? Tanya tentang Su? Apa yang dia tanya umi?"
"Dia tanya bila kau nak habis belajar?" Aku cuma terdiam menanti kalimah-kalimah seterusnya dari umi.
"Apa umi cakap?"
"Ala... umi kata dah nak habis pun."
"Lepas tu?" Soalku menunjukkan minat. Umi pula terdiam beberapa ketika.

"Kau ingat tak anak lelaki Pak Long Mat kau tu... yang belajar undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa tu?" Kenangan kepada Abang Nizam yang baik hati itu kembali menerpa. Masa kecil hadulu dialah guru yang mengajarkan aku membaca muqaddam.
"Ingat."
"Sekarang dia dah jadi peguam. Beruntunglah kalau umi dan walid dapat berbesan dengan Pak Long kau!" Ujar umi mengusik sambil berlalu pergi meninggalkan aku terpinga-pinga. Aku tersenyum seketika kemudian kembali berduka.

Nostalgia perhubungan dengan Ustaz Syamsul kembali memenuhi ruang mata. Selepas dia memutuskan hubungan denganku, aku tidak pernah ditaqdim lagi oleh mana-mana ikhwah. Pelik bukan? Itulah Mesir kadangkala ribat yang terbina di wadi Nil ni tidak selamanya kukuh ada yang terlerai jua.

Kemudian nostalgia itu padam apabila terlintas kenangan-kenangan manisnya berpersatuan, menghadiri kelas-kelas tafaqquh dan menjayakan program-program persatuan. Ilmu-ilmu pengurusan dan pentadbiran adalah fardhu kifayah yang tidak boleh diabaikan. Sepanjang empat tahun berada di sini aku sempat mempelajari lewat keterlibatan bersama PMRAM.

Pagi tadi Alisa menghulurkan sekeping sampul papirus berisi surat tanpa setem. Katanya buka dan baca di dewan nanti. Mengingatkan sampul papirus itu segera kuraih tas tangan dan mencari-cari warkah tersebut.

Dewan sudah sesak. Siswa dan siswi para graduan, mahasiswa cemerlang dan para pengiring memenuhi setiap kerusi yang tersedia. Aku perlahan-lahan mengoyak bucu warkah itu. Ema asyik melayan umi.

Assalamualaikum...

Maafkan saya, andai kehadiran warkah ini mengundang tangis dan lara kembali bertamu. Bukan tujuan saya untuk mengembalikan kesedihan yang pernah terlakar pada kanvas kehidupan ustazah hampir setahun lalu.

Ustazah,

Hampir setahun saya mencari pengertian. Memang benar Mesir bumi tarbiyah. Sehingga hampir setahun itulah pelbagai perubahan berlaku pada diri saya.

Sesudah liqa' terakhir bait muslim dulu sehingga kini saya dicengkam rasa bersalah. Keluarga menggesa saya berkahwin lekas. Saya sendiri bingung dengan konflik keluarga sendiri yang seolah tidak memberikan saya pilihan untuk membuat keputusan yang jitu.

Saya suarakan tentang perhubungan kita. Saya meminta tangguh sehingga habis B.A. Tegasnya mereka mengharap saya pulang cuti semester fasal pertama yang lalu setelah saya leraikan ikatan kita.

Rupanya tindakan saya melulu. Selepas berbincang dengan keluarga sewaktu pulang bercuti tempoh hari; keputusannya mereka bersetuju. Keputusan itu akhirnya mengundang pelbagai rasa dalam sanubari saya. Ada gembira. Ada duka. Tetapi duka dan bersalah melebihi segalanya!

Sekembali ke Mesir, saya bertemu Abu Zahra' yang mengurus liqa' antara kita. Tetapi setelah pulang ke rumah saya sendiri mengarahkan supaya dia membatalkan lamaran saya untuk kali kedua terhadap ustazah. Saya dihantui ketakutan dan rasa bersalah.

Ustazah,

Saya beristikharah semula. Berkali-kali. Akhirnya saya menemui jawapan. Dan jawapan itu kala ini hanya ada pada ustazah.

Usah gusar. Saya sendiri akan bertemu keluarga ustazah.

Lagi satu, saya mungkin akan menyambung pengajian sarjana lanjutan di sini. Itu keputusan muktamad.

Ikhlas dari saya,

Syamsul Bukhari

'Aku akan pulang mengikut keluarga ke Malaysia. Mindaku perlukan kerehatan. Sambil itu aku harus fikirkan cadangan walid. Dan terpenting bagaimana untuk menjelaskan pada umi dan walid tentang hubungan aku dengan Ustaz Syamsul?' Aku bermonolog sendiri.

Lirik sebuah nasyid kontemporari tanahair ligat bermelodi di mindaku.

Impian kasih

Kasih dengarlah hati kuberbicara
Kasih izinkan diri kubertanya
Bisakah cinta bersemi mengudang restu Ilahi
Adakah bahagia yang dipimpin menjadi satu realiti

Kasih kusedari kekurangan ini
Kasih Kuinsafi kelemahan diri
kuingin sentuh dirimu menjadi permaisuri hatiku
Sebagai isteri yang berbudi kebanggaan para suami

Wanita hiasan dunia
Seindah hiasan adalah wanita solehah
Yang akan membahagiakan syurga
Di dalam rumahtangga

Hanya itu yang kuinginkan
Dari insan yang amat kusayang
Damaikanlah resah hatiku
Aku rindu kasih dan sayangmu

Terimalah seadanya
Itu lah hiasan pelamin hidupku

Andainya tiada jodoh
Untuk ke singgahsana
Kupasrahkan segalanya
Kerana takdir yang akan menentukan
Impian Kasih

Aku melipat semula warkah itu. Pipi terasa hangat. Ada manik-manik jernih yang mengalir. Ya Allah beratnya dugaan ini. Aku tersedar. Lama juga aku mengelamun. Majlis sudah lama bermula. Syeikhul Azhar pun turut ada untuk menyempurnakan acara penyampaian ijazah.



"Untuk anugerah graduan mahasiswi cemerlang yang berjaya menamatkan pangajian di Fakulti Dirasat Islamiah Jabatan Syariah Islamiah dipersilakan Ustazah Suhana Binti Abdullah dari negeri Perak." Laungan pengerusi mengumumkan namaku. Aku terkedu. Umi dan Ema memelukku silih berganti. Air mata mereka berjujuran.

Aku melangkah jitu ke pentas untuk menerima anugerah itu dari Syeikhul Azhar. Di atas pentas itu tanpa sengaja mataku terlirik memerhati insan yang selama ini kunanti-nantikan. Tanpa sedar senyumanku terukir ke arahnya.

Tiada lagi yang akan berselirat di minda selepas ini. Jawapannya sudah ada. Semuanya berlangsung di dalam dewan besar itu.


OLeh,

Akhi Masrawi
September 2002
Tanta


© AKHI MASRAWI



Kembali ke JURNAL                                                    sila klik Respon/Komen
© Hak cipta dipelihara - Laman S E N T U H A N P U J A N G G A 1980-2003 - e-mel: mypujangga@yahoo.com (YM ID: mypujangga)
~ untuk paparan terbaik: IE 5.0 800 x 600 & text size: medium ~

KARYA-KARYA Akhi Masrawi

Lagenda Gadis Kedai Bunga | Warkah Buat Puteriku | Air Mata Karbala Menitis Di Kota Kaherah | Masihkah Ada Sinar | Kerikil Cinta Humaira | Tahanan | Hingga Titisan Terakhir | Di Dalam Dewan Besar itu | Cinta Sufiah | Warkah Terakhir Dari Ramallah

Sebuah Karya Akhi Masrawi

WARKAH TERAKHIR DARI RAMALLAH



MEMORI keakraban antara aku dan Jihad masih segar di kotak ingatan. Meski setelah tiga tahun lalu perpisahan menjadi tamu, sekaligus menjarakkan kemesraan yang baru memutik. Nostalgia menyusur denai-denai ilmu di Jamie' Al-Azhar menerpa. Membasuh keresahan menghabiskan pengajian di rantau orang di universiti yang terkenal sebagai kiblat ilmu itu. Betapa indahnya saat lalu, meski ia tidak betah berulang kembali.

"Tinggallah bersamaku." Ujarku setelah berkenalan dengan Jihad kali pertama bertemu dengannya di perkarangan masjid Husin.
"Tak usahlah." Balas Jihad menolak.
"Tak mengapa, lagipun bukanlah asing mendiami sebuah rumah dengan ahlinya berbeza negara." Aku meyakinkan walaupun pada mulanya aku agak keberatan lantaran menjadi kelaziman para mahasiswa Malaysia tinggal dengan rakan senegara.

Setelah berittifaq aku membawa Jihad pulang ke rumah dua bilik yang kusewa di Madinah Nasr itu. Bermulalah episod persahabatan antara kami.

Jihad seorang sahabat yang akrab dengan muallafat. Berketrampilan sederhana dan zuhud sifatnya. Melazimi puasa sunat Isnin-Khamis dan qiyamullail. Pernah sekali aku mengusik hamasahnya meratah thaqafah dan mengungguli muallif lantaran cemburu yang terbina. Namun, Jihad tetap sabar dan istiqamah. Padanya safar ilmu di Ardil Kinanah ini adalah peluang yang tidak mungkin diperolehi setiap jiwa yang lahir di daerahnya.

Benarlah kata Jihad. Safar ilmu itu terlalu mencemburinya. Baru setahun menjadi warga Al-Azhar sekaligus teman serumahku, dia terpanggil pulang ke daerah asalnya. Dalam kepasrahan aku melepaskan Jihad pergi.

Semalam, kepulanganku ke kediaman di Madinah Nasr mengetuk tirai emosi apabila Muslim, teman serumahku menyerahkan sekeping sampul surat yang dikirimkan dari Ramallah. Tentu sahaja aku tidak akan salah meneka. Aku tidak punya sesiapa di Ramallah, kecuali Jihad. Setelah tiga tahun perpisahan merakam waktu baru kini warkahnya terutus. Kuratah setiap isi warkah Jihad dengan tenang.

Assalamualaikum warahmatullah...

Sahabatku fillah,

Kukira kau gembira menatap warkah bisu ini meski setelah tiga tahun sepi membaluti persahabatan kita. Ukhwah yang pernah kita bina kuharap masih mekar seperti dulu. Lantas sebagai seorang sahabat. kuterbangkan doa dari bumi Isra' ini agar hidupmu bahagia.

Akhi,

Kala kau dan teman-teman meratah thaqafah di halaqah-halaqah ilmu, aku dan para satria di sini terhambat menyusun takhtit demi jihad yang satu. Ya, jihad fi sabilillah yang tak akan luput dari jiwa yang beriman. Meski kalian mengejar kefaqihan untuk berstatus ulamak kami terus berperang untuk menang atau syahid sebagai syuhada. Perjuangan kita tetap perjuangan suci murni yang kita warisi daripada mereka yang telah pergi.

Ketahuilah sahabatku, tidak terlintas di nubariku untuk mengabaikan persahabatan yang telah kita bina. Apa lagi jasamu menghulurkan pertolongan dan bantuan kewangan yang kau salurkan buatku menyebabkan aku terasa hiba hingga saat ini pun aku tak mampu membalasnya.

Aku terhenti membaca isi warkah. Hiba mengusik. Ada manik jernih yang bertakung di kelopak mata. Kusambung kembali dengan warkah tetap kemas di genggaman.

Setibanya aku di Ramallah aku teruji dengan kepergian seluruh ahli keluargaku yang gugur syahid di tangan seldadu Yahudi. Berita yang menyayat hati itu kuterima pasrah. Aku sudah tiada sesiapa kecuali setelah aku ditemukan dengan Abdullah seorang pejuang HAMAS yang kemudiannya membawaku bersama jemaah itu.

Kau tentu tahu bukan, setiap perkhabaran di sini? Ku kira media sentiasa melaporkan. Justeru tidak perlulah kiranya kuriwayatkan kesemua kisah-kisah itu. Cukuplah sekadar menceritakan persepsiku semenjak menganggotai HAMAS, sebuah pertubuhan intifada yang dilabel George W Bush sebagai kelompok 'terrorist', sedang Ariel Sharon yang menyembelih hampir 3000 jiwa umat Palestin dalam tragedi Sabra dan Shatila sewaktu menjadi menteri Pertahanan Israel dilabel sebagai pejuang keamanan. Kau lihat! Tribunal dunia barat menghakimi kita. Sharon celaka itu hanya di'pujuk' melepaskan jawatan ketika itu tetapi akhirnya dipilih semula menjadi Perdana Menteri menggantikan Ehud Barak serta meneruskan onar, sedangkan tiada sebarang tindakan untuk membela umat Islam Palestin.

Meskipun berpemimpinkan seorang amir yang cacat, bukanlah jidar yang menghalang hamasah kami pengikut Syeikh Ahmad Yassin itu. Sebagai ganti kecacatan beliau Allah telah menganugerahkan berpuluh ribu kaki dan tangan pejuang Islam. Syeikh intifada itu kujadikan idola untuk membebaskan bumi Palestin ini. Api jihad sering menyala-nyala saban khutabahnya berkumandang di Masjid Al-Abbas, Masjid Ashnati dan Masjid Izzuddin Al-Qassam mengingatkan umat Islam Palestin kembali berpegang teguh dengan ajaran Islam. Kita tidak mungkin boleh menaruh harapan lagi kepada perjuangan Arafat. Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sepatutnya telah lama berundur dari memperjuangkan keamanan dan pembebasan Tanah Suci ini lantaran perjuangan mereka semenjak 1964 itu adalah bersifat kebangsaan dengan paksi sekular.

HAMAS yakin PLO adalah boneka sekular. Persis OIC dan Liga Arab yang saban waktu mengatur penipuan demi penipuan. Apa yang 57 buah negara anggota OIC sebagai pertubuhan kedua terbesar di dunia itu telah lakukan untuk Palestin? walaupun asalnya diasaskan di Rabat, Morocco pada 25 September 1969 sebagai menyatakan sensitiviti terhadap cubaan Zionis antarabangsa untuk membakar Masjid Al-Aqsa pada 21 Ogos 1969. Sementara mereka berdrama Gaza, Jenin dan Ramallah terus berdarah. Belum lagi melihat sandiwara Liga Arab yang sering tidak ada kata putus yang meyakinkan.

Lantaran intifada yang digerakkan Syeikh Ahmad Yassin pada 1987 beliau menerima bayaran perjuangan itu dengan hukuman penjara seumur hidup yang diputuskan oleh mahkamah Israel. Syeikh Ahmad Yassin menderita. Namun perjuangan mustamirrah. Beliau terus meyakinkah kami para anggota HAMAS supaya menolak perjanjian damai yang dimetrai oleh PLO dengan Zionis Israel.

Akhi,

Mengakhiri wakrahku kali ini ingin kupetik kata-kata Syeikh intifada itu yang seringkali menjadi pembakar semangatku. Beliau dengan tegas pernah berkata: "Kami bersumpah bahawa kekejaman dan kezaliman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin tidak akan membuatkan kami mundur setapak pun dan kami akan terus menetang Zionis kerana Allah akan menolong kami. Kami berseru, percayalah dan bersatulah merebut kembali jalan-jalan, kota dan tanah Palestin. Berjihadlah sampai mencapai kemenangan atau mati syahid di jalanNya."

Sahabatmu,
Jihad Jamal
Ramallah

Warkah itu kulipat kembali seusai membaca baris terakhir. Peluh memercik keluar di dahi kukesat dengan lengan kemeja. Keinsafan bertamu di laman hayat. Pasca kepulangan Jihad ke Tanah Palestin aku meneruskan pengajian dalam fakulti Syariah Wal-Qanun bersama teman-teman yang lain seperti biasa. Sayang sekali keputusan imtiyaz tahun pertama yang dirangkul Jihad berakhir tanpa disudahkan pengajian hingga tahun empat. Kini aku dalam debar menanti keputusan tahun akhir sambil-sambil mengintai majlis ilmu dan bertalaqi dengan para syeikh.

"Aku sukakan membaca karya Said Hawwa. Antara yang paling menyentuh perasaan dan meninggalkan kesan yang hebat dalam jiwaku adalah sebuah kitab kecilnya yang berjudul "Hazihi Tajribati wa hazihi Syahadati." di mana memaparkan kisah hidup perjuangan penulis sendiri." Kalam Jihad bagai terngiang di telingaku. Aku hanya mengiyakan tuturnya.
"Selain itu tulisan-tulisan Syed Qutb juga sering membangkitkan hamasahku," sambung Jihad.

Jihad menyedarkan aku tentang pengajian. Himbauan nostalgia bersamanya membuatkan muallafat di kutubkhannah fakulti kuratah dengan jitu. Minat yang mendalam dalam bidang Syariah meruntun penguasaanku dalam segenap lapangan ilmu terutama Fiqh dan Usulnya. Justeru kuhadam pelbagai kitab turath mahupun muasarah. Tanpa melupakan silsilah harakie sebagai 'mahar' perjuangan. Antaranya silsilah Said Hawa, Fathi Yakan, Al-Qardhawi dan sebagainya menjadi teman pengganti ruh membaca yang pernah diasas Jihad. Tulisan-tulisan Imam Hassan Al-Banna, Syed Qutb, Hasan Hudhaibi, Muhd Abdullah Al-Khatib, Ali Abdul Halim Mahmud, Abdul Qadir Audah, Mustaffa Masyhur, Zainab Al-Ghazali, Al-Mawdudi dan ramai lagi kujadikan iftar selepas quranul fajr.

Aku mencapai beberapa keping kertas A4 dan pen untuk membalas warkah dari Ramallah itu.

Assalamualaikum Warahmatullah...

Sahabatku Jihad,

Warkahmu selamat kuterima dan kufahami isinya. Aku bersyukur, kau masih mengingati persahabatan dan ukhwah yang kita bina. Ku kira tidak sia-sia kitab Fiqh Ukhwah yang pernah kita diskusikan bersama suatu ketika dahulu. Dan seperti biasa aku juga turut mendoakan kesejahteraanmu dari Lembah Nil ini.

Semenjak 1987 lagi tika laungan intifada menggegarkan langit Palestin, HAMAS telah kukenali. Waktu itu aku masih di marhalah ibtidaie. Kalau kau mahu tahu guru besarku dengan lantang pernah berucap di perhimpunan rasmi sekolah seraya melancarkan tabung bantuan kepada intifada Palestin. Apalah yang aku miliki waktu itu selain semasa saku seluar kuseluk wang syiling bernilai 50 sen cuma. Namun kerana itu sahaja yang barangkali mampu untuk menampung perjuangan intifada Palestin aku masukkan kesemuanya ke dalam tabung yang dilancarkan. Semangatku tika itu membuatkan aku terpaksa mengikat perut

1 comment:

  1. I'm Sonja McDonell, 23, Swiss Airlines Stewardess with 13 cities overseas, very tender with much fantasies in emergency cases in my wonderful job. Lesbian sex is an established part in the worlwide society since the early 1900. We've some cells in our brains in a young age, wich so called normal girls don't have. These cells become active during the early puberty, mostly with 9-10 yo. They stay active during the whole live. They can never be erased & it's important to keep them active. But I think, lesbian relations are seldom in Indonesia & when girls do it together, then discretely. Am I right? Do you want to discuss it?
    sonjamcdonell@yahoo.com

    ReplyDelete